KUALA LUMPUR 4 Julai — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai perjanjian jangka panjang selama 20 tahun bagi pembelian gas asli cecair (LNG) dengan Venture Global Inc, sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua syarikat tersebut.
Menerusi perjanjian terbaharu itu, Petronas akan membeli satu juta tan setahun LNG daripada projek eksport CP2 Venture Global di Louisiana, Amerika Syarikat, menurut pengumuman syarikat tersebut pada Khamis.
Difahamkan, Venture Global kini sedang giat melengkapkan pembiayaan yang diperlukan untuk memulakan projek CP2, yang merupakan projek eksport LNG ketiganya, menurut laporan Bloomberg.
Syarikat itu turut dilaporkan telah menyenaraikan sahamnya di pasaran awam awal tahun ini, namun terpaksa mengurangkan saiz tawaran awam permulaan (IPO) ekoran reaksi berhati-hati daripada pelabur.
Perjanjian terbaharu ini menambah kepada kontrak sedia ada antara Petronas dan Venture Global melalui projek kedua syarikat AS itu, Plaquemines LNG, yang telah memulakan eksport sejak hujung tahun lalu.
Bagaimanapun, Venture Global kini berdepan prosiding timbang tara yang masih berjalan dengan beberapa pelanggan berhubung isu projek LNG pertamanya, Calcasieu Pass, dengan keputusan awal dijangka diumumkan pada separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com








