KUALA LUMPUR 8 Julai – PETRONAS terus melakar kejayaan dengan penghantaran kargo gas asli cecair (LNG) pertamanya dari fasiliti LNG Canada yang baharu beroperasi di Kitimat, British Columbia, Kanada.
Penghantaran itu berlepas ke Jepun menggunakan kapal LNG Puteri Sejinjang berkapasiti 174,000 meter padu, menandakan bermulanya peristiwa penting dalam pelaburan PETRONAS di Kanada.
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, penghantaran sulung itu adalah kemuncak kepada usaha selama bertahun-tahun PETRONAS dalam merealisasikan visi syarikat untuk mengeksport LNG dari Kanada ke rantau Asia Pasifik.
“Kami berbesar hati untuk meraikan detik bersejarah ini bersama LNG Canada, rakan kongsi usaha sama yang lain, komuniti Haisla, masyarakat Kitimat serta seluruh rakyat Kanada,” katanya dalam satu kenyataan.
Fasiliti LNG Canada berperanan sebagai antara loji eksport LNG dengan pelepasan karbon paling rendah di dunia, yang menggunakan turbin gas cekap tenaga serta sistem canggih bagi mengesan dan mengurangkan kebocoran metana.
ARTIKEL BERKAITAN Petronas tidak merancang keluar dari Kanada, kata Fitzgerald
Loji tersebut turut disambungkan kepada grid BC Hydro yang sebahagian besarnya dibekalkan melalui sumber tenaga hidroelektrik dan boleh diperbaharui.
Fasiliti tersebut beroperasi dengan intensiti gas rumah hijau kira-kira 35 peratus lebih rendah berbanding loji LNG berprestasi terbaik di peringkat global iaitu sekitar 60 peratus lebih rendah daripada purata global.
PETRONAS berkata langkah itu mencerminkan komitmen kukuhnya dalam menyediakan LNG berkarbon rendah yang diperoleh secara bertanggungjawab.
“Pembangunan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan PETRONAS sebagai pembekal LNG yang boleh dipercayai, dengan LNG Canada menjadi tambahan strategik kepada rangkaian bekalan global syarikat yang semakin berkembang," katanya.
Menerusi pegangan ekuiti sebanyak 25 peratus dalam projek ini melalui entiti milik penuhnya, North Montney LNG Limited Partnership, LNG Canada adalah komponen penting dalam strategi LNG global PETRONAS untuk mempelbagaikan portfolio bekalan dan meningkatkan fleksibiliti pasaran.
Terletak secara strategik di pantai barat Kanada dan bersambung dengan aset gas huluan PETRONAS di timur laut British Columbia, LNG Canada menawarkan laluan penghantaran yang pantas dan cekap ke pasaran utama Asia Utara termasuk Jepun, Korea Selatan dan China.- DagangNews.com








