KUALA LUMPUR 11 Jun - Syarikat tenaga Malaysia, Petronas tidak mempunyai sebarang rancangan untuk keluar dari Kanada dan pada masa sama kumpulan itu komited terhadap eksport gas asli cecair (LNG) dari Pantai Barat negara itu.
"Khabar angin Petronas akan keluar dari Kanada adalah sama sekali tidak benar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Canada, Mark Fitzgerald semasa di luar persidangan tenaga di Calgary, Kanada, lapor Reuters.
Minggu lalu, Bloomberg melaporkan, Petronas sedang mempertimbangkan untuk menjual syarikatnya di Kanada, yang sebelum ini dikenali sebagai Progress Energy Resources Corp.
Media Malaysia juga melaporkan, Petronas menyatakan ia perlu menyesuaikan saiz tenaga kerjanya untuk memastikan kelangsungan syarikat dalam beberapa dekad akan datang.
LNG Canada, fasiliti eksport LNG pertama negara itu, merupakan usaha sama antara Shell Canada, Petronas, PetroChina, Mitsubishi Corporation dan Kogas.
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas nafi keluar dari Kanada, kekal komited terhadap pelaburan jangka panjang
Ia dijangka menghantar kargo pertamanya menjelang pertengahan 2025.
Rakan-rakan usaha sama sedang meneroka kemungkinan untuk pengembangan, yang mungkin merangkumi pembinaan dua lagi loji LNG tambahan yang akan menggandakan kapasiti loji tersebut kepada 28 juta tan LNG setahun.
Presiden Shell Canada, Stastia West berkata, keputusan syarikat sama ada untuk meneruskan pengembangan akan bergantung kepada daya saing dan kemampuan keseluruhan projek, serta projek berpotensi lain yang terdapat dalam portfolio Shell pada masa itu.
Bercakap semasa persidangan itu, Fitzgerald berkata, LNG dari Pantai Barat Kanada, dengan akses kepada gas asli murah dari Kanada Barat serta pasaran eksport Pasifik, mampu bersaing dengan baik berbanding mana-mana projek yang sedang dibangunkan di Amerika Syarikat.
Beliau berkata, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pelabur telah berasa terhalang akibat persepsi persekitaran kawal selia di Kanada tidak mesra pelabur.
Perdana Menteri baharu Kanada, Mark Carney yang memenangi kerajaan minoriti pada April lalu, telah berikrar untuk memendekkan tempoh kelulusan dengan mengenal pasti serta mempercepatkan projek berkepentingan nasional yang bertujuan membantu Kanada menjadi kuasa besar tenaga konvensional dan bersih.
Fitzgerald berkata, Kanada perlu membangunkan strategi nasional bagi LNG dan gas asli, dan pelaburan akan mengalir masuk dengan cepat ke negara itu sekiranya kerajaan menunaikan janji untuk mengurangkan tempoh kelulusan. - DagangNews.com








