Petronas nafi keluar dari Kanada, kekal komited terhadap pelaburan jangka panjang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Petronas nafi keluar dari Kanada, kekal komited terhadap pelaburan jangka panjang

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 4 Jun – Petronas menegaskan komitmen terhadap pelaburan jangka panjang terhadap sektor tenaga di Kanada, sekali gus menafikan dakwaan untuk keluar daripada negara berkenaan.

 

Syarikat itu merupakan pengendali projek gas huluan North Montney Joint Venture (NMJV) dan rakan strategik utama dalam projek LNG Canada bernilai AS$40 bilion (RM169.7 bilion) yang hampir siap di Kitimat, British Columbia.

 

Petronas telah melantik penasihat kewangan dan mula mengenal pasti minat daripada pihak yang berhasrat membeli, dengan nilai perniagaan dianggarkan antara AS$6 bilion (RM25.47 bilion) hingga AS$7 bilion (RM29.72 bilion). 

 

Syarikat itu juga mungkin mempertimbangkan untuk menjual pegangan minoriti sahaja bergantung kepada tawaran.

 

Menurut laporan Bloomberg, syarikat itu sedang menilai pelbagai pilihan terhadap anak syarikatnya di Kanada, yang sebelum ini dikenali sebagai Progress Energy Resources Corp, termasuk kemungkinan penjualan penuh atau sebahagian.

 

Petronas membeli Progress Energy pada tahun 2012 dengan nilai kira-kira AS$5.3 bilion (RM22.5 bilion), sekali gus meningkatkan aset gas syal di timur laut British Columbia.

 

Syarikat itu berkata, laporan yang mendakwa Petronas akan keluar dari Kanada adalah tidak benar.

 

Petronas juga memegang 25% pegangan dalam projek LNG Canada satu usaha sama gas asli cecair yang turut disertai oleh Shell plc, PetroChina Co Ltd, Mitsubishi Corp dan Korea Gas Corp.

 

Projek itu merupakan antara loji LNG dengan intensiti pelepasan karbon terendah di dunia.

 

"Dengan LNG Canada dijangka menghantar kargo pertama tahun ini, Petronas berbangga dapat membekalkan LNG Kanada yang rendah karbon dan boleh dipercayai untuk menyokong pasaran tenaga global dalam jangka panjang," kata syarikat itu dalam satu kenyataan. - DagangNews.com