KUALA LUMPUR 12 Sept – PETRONAS Gas Berhad (PGB) kekal berpotensi menjadi penerima manfaat utama dalam perjanjian jual beli (SPA) gas asli cecair (LNG) selama 15 tahun, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, meskipun ia antara PETRONAS LNG Ltd (PLL) dan gergasi tenaga Australia, Woodside Energy Group Ltd, namun PGB tetap meraih faedah jangka panjang tidak langsung.
SPA berkenaan dimeterai pada 9 September 2025 melibatkan pembekalan sejuta tan LNG setahun (1mTpa) ke Malaysia bermula 2028, menandakan kejayaan memuktamadkan perjanjian sebelum itu pada Jun 2025.
"Ini memperkukuhkan komitmen PETRONAS sendiri terhadap isu keselamatan tenaga negara dan memberi isyarat teguh terhadap permintaan global LNG yang meningkat," kata MBSB Research dalam notanya.
Selain itu tambahnya, SPA tersebut dijangka menyumbang secara langsung kepada keperluan bekalan tenaga Semenanjung Malaysia, khususnya dalam sektor tenaga dan industri yang berkembang pesat.
Situasi positif berkenaan kata firma itu, disebabkan oleh pertumbuhan pusat data, penggunaan luas teknologi kecerdasan buatan (AI) dan peralihan janakuasa arang batu kepada bahan api yang hijau.
Perjanjian ini jelas MBSB Research, bukan sahaja membantu daya tahan tenaga Malaysia, malah sejajar dengan komitmen PETRONAS dalam memastikan akses berterusan kepada LNG yang lebih bersih.
Artikel berkaitan: Woodside bekal LNG ke Malaysia selama 15 tahun menerusi perjanjian dengan PETRONAS

"Woodside sebelum ini menandatangani SPA dengan syarikat minyak dan gas utama di China, Jerman, dan Jepun, memberi gambaran LNG terus memainkan peranan penting dalam transisi tenaga global.
Ini selari dengan arah aliran dunia mengiktiraf LNG sebagai bahan api peralihan ke arah neutral karbon, terutama sektor yang belum boleh beralih penuh kepada tenaga boleh diperbaharui (RE).
MBSB Research berkata, walaupun SPA ditandatangani PLL, PGB dijangka meraih manfaat tidak langsung memandangkan peranan besarnya dalam pengangkutan, pengedaran serta pengegasan semula di Malaysia.
Bagaimanapun ia berpendapat, impak perjanjian itu terhadap prestasi kewangan PGB adalah terhad dalam jangka masa terdekat, kerana pelaksanaan sebenar pembekalan hanya akan bermula pada 2028.
"Kami namun melihat beberapa risiko yang perlu diperhatikan termasuk isu volatiliti pasaran LNG global, serta cabaran kekangan peraturan, logistik dan infrastruktur tempatan," kata firma itu.
Di samping itu tambah MBSB Research, PGB wajar berwaspada terhadap faktor persaingan yang semakin meningkat daripada pelbagai lagi sumber RE dan bahan api hijau sedia ada seperti hidrogen.
Dengan pelaksanaan perjanjian hanya bermula pada tahun kalender 2028, firma berkenaan mengekalkan saranan 'neutral' terhadap PGB dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM19.25 sesaham.
Secara am, perkembangan kali ini menunjukkan hala tuju strategik PETRONAS proaktif dan progresif, dengan impak kewangan kepada PGB dijangka lebih bersifat jangka panjang. - DagangNews.com








