KUALA LUMPUR 26 Feb - Pertumbuhan pesat pusat data di Johor serta prospek ekonomi daripada Zon Ekonomi Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada keuntungan Ranhill Utilities Bhd, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu kini menaik taraf saranan daripada NEUTRAL kepada BELI dengan harga sasaran baharu RM2.29, hasil daripada prestasi lebih kukuh Ranhill SAJ dan semakan tarif air terkini.
"Bagi segmen tenaga, Ranhill sedang meneroka peluang dalam Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan telah mengemukakan bidaan kepada Suruhanjaya Tenaga untuk pembangunan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) 100MW/400MWh pada Jul-25," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Prestasi melebihi jangkaan
Menurut MBSB, Ranhill mencatatkan keuntungan bersih teras RM52.2 juta bagi 2QFY26, meningkat +72.9% QoQ, terutamanya disumbangkan oleh Ranhill SAJ.
Jika dibandingkan dengan 4QFY25, keuntungan bersih teras meningkat 5 kali ganda tahun ke tahun.
Keuntungan bersih teras terkumpul bagi 6MFY26 berjumlah RM82.4 juta, melebihi jangkaan penganalisis dan konsensus masing-masing pada 84.9% dan 62.9%.
Katanya, hasil kumpulan meningkat +7.3% QoQ kepada RM632.1 juta, terutamanya daripada divisyen air Ranhill SAJ. Margin PBT segmen ini naik kepada 12.6% daripada 10.5% pada suku sebelumnya, susulan penyesuaian tarif air baharu.
Segmen tenaga pula mencatat PBT tiga kali ganda kepada RM6.5 juta, terutamanya daripada Ranhill Sabah Energy 1 (RM32.5 juta) dan Ranhill Sabah Energy II (RM33.8 juta).
Sebaliknya, divisyen perundingan dan perkhidmatan mencatat PBT lebih rendah RM1.8 juta (-73.1% YoY), didorong terutamanya oleh Ranhill Technologies (RM6.0 juta).
Unjuran keuntungan dinaikkan
MBSB menaikkan unjuran keuntungan FY26E/FY27F masing-masing sebanyak +39.2% dan +16.4%, susulan prestasi Ranhill SAJ yang lebih baik, disokong oleh semakan tarif air bermula Ogos 2025, permintaan air lebih tinggi, dan margin yang lebih kukuh.
Kenaikan terbesar adalah bagi pengguna bukan domestik, manakala pusat data akan dikenakan kadar khusus. - DagangNews.com








