Persidangan Peralihan Tenaga 2026 lakar kejayaan meterai 15 perjanjian, perkukuh Malaysia sebagai hab serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan Peralihan Tenaga 2026 lakar kejayaan meterai 15 perjanjian, perkukuh Malaysia sebagai hab serantau

Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi detik penting apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merasmikan acara tersebut pada 4 Jun 2026 sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia untuk membangunkan ekosistem tenaga yang lestari, berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 Jun – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara peneraju agenda peralihan tenaga di ASEAN menerusi Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) dari 3 hingga 5 Jun 2026.

 

Acara anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu berjaya menghimpunkan lebih 4,000 delegasi dari lebih 60 negara serta menghasilkan 15 perjanjian dan kerjasama strategik yang bernilai tinggi.


Persidangan itu turut disokong pemain industri, pembuat dasar, institusi kewangan dan rakan global berkongsi komitmen memacu penggunaan tenaga bersih serta memperkukuh keselamatan tenaga serantau.


"ETCon26 bukan sahaja menjadi platform perbincangan dasar dan teknologi, malah menterjemahkan sesi dialog kepada tindakan susulan menerusi pemeteraian pelbagai kerjasama," menurut kenyataan TNB.

 

Etcon_DagangNews2026
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof diiringi barisan pengurusan tertinggi TNB meninjau Terowong Imersif TNB selepas menyempurnakan majlis pembukaan Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) pada 3 Jun 2026.




Kejayaan diperoleh tersebut ujarnya, melibatkan isu tenaga boleh diperbaharui (RE), perdagangan elektrik rentas sempadan, usaha pembangunan grid, infrastruktur gas dan pembangunan modal insan.


Sebanyak 42 rakan strategik menyertai ETCon26, manakala hampir 80 penceramah daripada pelbagai latar belakang dari seluruh dunia turut berkongsi pandangan mengenai masa depan sektor tenaga.


Antara kerjasama dimeterai termasuk pembangunan projek solar terapung hidro hibrid, solar berskala utiliti yang dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), serta pemasangan solar bumbung.


"Selain itu, turut dimeterai kerjasama pemodenan grid elektrik, pembangunan infrastruktur gas serta pembangunan bakat menerusi Energy Transition & Sustainability Academy (ETSA)," tambah TNB.

 

Etcon_DagangNews2026
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad menyampaikan ucapan alu-aluan pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 Jun 2026.



Persidangan itu turut memberi tumpuan kepada cabaran baharu dihadapi ASEAN susulan permintaan elektrik dipacu perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan ekonomi dan industri pusat data.


Dalam pelbagai sesi dialog dan plenari, para peserta juga menekankan kepentingan daya tahan grid, perluasan penggunaan RE serta kesalinghubungan tenaga rentas sempadan menerusi pelbagai inisiatif.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, ETCon26 membuktikan Malaysia kini memiliki dasar, kepakaran teknikal, kerjasama industri dan komitmen institusi.


"Ia cukup untuk mempercepatkan agenda peralihan tenaga pada skala yang diperlukan, dan berakhirnya ETCon26 bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada fasa pelaksanaan seterusnya," tegas beliau.

 

Etcon_DagangNews2026
Pengunjung berinteraksi dengan demonstrasi teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai penyelesaian digital yang dipamerkan semasa Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26).



Justeru ujarnya, beberapa kerjasama dan perjanjian yang dimeterai sepanjang persidangan itu akan diterjemahkan kepada tindakan melalui koordinasi yang lebih kukuh di peringkat Malaysia dan ASEAN.


Shamsul menambah, ketika keperluan tenaga dan ekonomi digital ASEAN terus berkembang, ETCon26 dilihat berjaya meletakkan asas yang lebih kukuh untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau.


Perkembangan positif itu selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan transformasi sektor tenaga negara ini ke arah ekonomi lebih rendah karbon. 


"Sehubungan itu, persidangan ini sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam membentuk masa depan tenaga yang lebih mampan dan bersepadu di rantau ini," katanya. - DagangNews.com