KUALA LUMPUR 5 Jun – Minat pelabur terhadap tawaran awam permulaan (IPO) Elsa Berhad kekal positif apabila syarikat itu menerima permohonan melebihi 26.9 kali daripada jumlah saham diperuntukkan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan penyedia perkhidmatan berlesen itu memperoleh sebanyak 9,090 permohonan menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 Jun 2026.
Ia melibatkan 751.63 juta saham terbitan bernilai kira-kira RM172.87 juta yang diterima daripada pelabur awam, berbanding hanya 26.92 juta saham yang ditawarkan di bawah kategori tersebut.
"Bagi kategori pelabur Bumiputera, syarikat ini menerima sejumlah 4,896 permohonan untuk 276.64 juta saham, yang mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 19.55 kali," kata Elsa dalam kenyataan.
Sementara itu, untuk IPO kategori awam pula kumpulan mencatatkan sambutan lebih tinggi dengan 4,194 permohonan bagi 474.98 juta saham, bersamaan kadar terlebih langgan sebanyak 34.29 kali.
Syarikat berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Elsa Energy Sdn Bhd turut memaklumkan yang sebanyak 10.77 juta saham diperuntukkan kepada individu berkelayakan pun sudah habis dilanggan.
Selain itu, keseluruhan 80.71 juta saham terbitan dan 36.40 juta saham tawaran yang diperuntukkan kepada pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian turut berjaya ditempatkan sepenuhnya.
"Sejumlah 117.11 juta saham IPO diperuntukkan kepada sejumlah 18 pelabur institusi dan pelabur terpilih di bawah penempatan persendirian," kata Elsa yang ditubuhkan di ibu negara sejak 2020.
Daripada jumlah itu, lima pelabur terbesar menguasai 72.74% saham yang ditempatkan, manakala 10 pelabur terbesar memegang 96.35% daripada keseluruhan saham diperuntukkan menerusi mekanisme ini.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Elsa mengesahkan tiada mana-mana pelabur penempatan yang muncul memegang lebih 5% ekuiti saham syarikat tersebut hasil daripada terbitan IPO itu.
Selepas selesai pelaksanaan IPO, ia akan mempunyai modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 538.4 juta saham, dengan saham ditempatkan kepada pelabur institusi mewakili kira-kira 21.75%.
"Pengurus utama, penasihat, penaja dan ejen penempatan IPO, Malacca Securities Sdn Bhd menilai sambutan kukuh yang diterima mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek Elsa," katanya.
Keputusan ini turut meletakkan Elsa dalam kedudukan positif menjelang kemunculan sulung sahamnya di pasaran, disokong permintaan jauh melebihi bekalan saham ditawarkan. - DagangNews.com








