KUALA LUMPUR 5 Jun – EITA Resources Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, EITA Power System Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM40.9 juta bagi pembekalan sistem pengagihan kuasa tertutup untuk sebuah projek pusat data di Johor.
Kontrak tersebut diperoleh daripada pihak ketiga dikenali sebagai “Company A” yang terlibat dalam pembangunan projek pusat data tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata kontrak itu melibatkan kerja-kerja pembekalan dan penghantaran sistem ‘busduct’ iaitu sistem pengagihan kuasa elektrik yang digunakan secara meluas dalam bangunan berskala besar dan berteknologi tinggi seperti pusat data.
“Tempoh pelaksanaan projek ini dijadualkan bermula pada Mei 2026 hingga September 2026.
“Identiti Company A tidak didedahkan atas sebab kerahsiaan di bawah perjanjian yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak,” katanya.
Syarikat itu berkata kontrak ini tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham atau struktur pegangan saham kumpulan EITA Resources.
Bagaimanapun, lembaga pengarah menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2026, seiring dengan pengembangan aktiviti perniagaan syarikat.
Dari sudut risiko, syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa selain risiko operasi biasa yang lazim dalam pelaksanaan projek teknikal dan kejuruteraan, namun langkah mitigasi akan diambil dari semasa ke semasa.
Kontrak baharu itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan EITA Resources dalam sektor penyelesaian sistem elektrik, khususnya dalam projek-projek berteknologi tinggi seperti pusat data yang semakin berkembang pesat di Malaysia.- DagangNews.com








