Permohonan lesen mendulang emas bantu rakyat jana pendapatan - Pengarah PTG Kelantan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permohonan lesen mendulang emas bantu rakyat jana pendapatan - Pengarah PTG Kelantan

Kem eksplorasi alam yang pernah dijalankan Universiti Malaysia Kelantan satu ketika dahulu - Gambar UMK

KUALA LUMPUR 5 Jan – Kerajaan negeri Kelantan membuka peluang baharu kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan individu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan membenarkan permohonan lesen rasmi bagi aktiviti mendulang emas secara manual bermula 1 Januari 2026.

 

Langkah ini dilihat sebagai usaha seimbang kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan ekonomi rakyat sambil memastikan aktiviti mendulang emas dijalankan secara terkawal, selamat dan mesra alam.

 

Pengarah Tanah dan Galian Kelantan Datuk Nik Raisnan Daud berkata harga emas semasa ialah sekitar 918 riyal (lebih kurang RM565.77 bagi setiap gram emas 916) dengan kemungkinan turun naik sehingga 100 riyal.

 

“Kerajaan negeri berpendapat bahawa pendulang berskala kecil masih boleh menyertai aktiviti ini terutamanya mereka yang bergantung kepada pendapatan harian dan tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya.

 

Nik Raisnan berkata keselamatan dan kesejahteraan komuniti tempatan menjadi keutamaan dengan perancangan untuk menggazetkan kawasan tertentu supaya aktiviti ini dijalankan secara terkawal tanpa menjejaskan penduduk kampung.

 

Beliau menegaskan syarat utama ialah aktiviti mendulang emas hanya dibenarkan secara manual tanpa penggunaan mesin berskala besar bagi mengelakkan kerosakan alam sekitar dan risiko keselamatan.

 

Tambah beliau, jumlah permohonan yang diterima setakat ini adalah menggalakkan tetapi setiap permohonan akan disemak mengikut syarat yang ditetapkan dengan keutamaan diberikan kepada golongan kurang bernasib baik untuk membantu mereka menambah pendapatan secara sah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kelantan buka permohonan lesen mendulang emas mulai 1 Januari 2026 

 

Sementara itu, seorang pendulang emas Ramzu Zaman Yusuf 52, menyambut baik langkah tersebut kerana ia akan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, terutama golongan berpendapatan rendah.

 

“Saya bercadang untuk mengemukakan permohonan rasmi kepada Pejabat Tanah dan Galian negeri minggu ini.

 

“Dengan memiliki lesen, kerja menjadi lebih terkawal dan sah dari segi undang-undang, selain memudahkan pemantauan kerajaan negeri. Rakyat juga tidak lagi takut untuk meneruskan aktiviti mendulang,” katanya.

 

Bagi Ahmad Fauzan Mohd Zain pula, beliau kini menunggu kelulusan permohonan yang sudah dibuat dan syarat terperinci memandangkan pengenalan lesen ini dibuat pertama kali oleh kerajaan negeri.

 

Beliau berkata pemohon perlu menunggu pengumuman lanjut, termasuk penentuan kawasan mendulang, jenis peralatan yang dibenarkan dan kaedah penguatkuasaan.

 

“Saya hantar permohonan pada hari pertama (1 Januari 2026) dengan bayaran RM100 untuk permohonan tersebut.

 

“Seterusnya hanya perlu tunggu sahaja apa keputusan permohonan tersebut kerana difahamkan ramai yang berminat dengan aktiviti ini walaupun terdapat sedikit bayaran bagi memastikan ia mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.-- BERNAMA