KUALA LUMPUR 31 Dis – Permohonan lesen untuk mendulang emas di Kelantan akan mula dibuka pada 1 Januari 2026 khas untuk rakyat negeri itu yang berminat melakukan aktiviti tersebut.
Namun, semua permohonan yang diterima akan diproses oleh kerajaan negeri mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan antaranya mestilah menggunakan kaedah tradisional sahaja.
Selain itu, aktiviti mendulang emas hanya boleh dilakukan di lokasi yang diwartakan sebagai milik kerajaan dan hasil yang diperolehi mesti dijual hanya jeoada pembeli emas yang mempunyai lesen daripada kerajaan negeri sahaja.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata setakat ini kerajaan negeri sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang memiliki mineral emas dan akan digazetkan dalam masa terdekat.
“Antara kawasan yang berpotensi terdapat di beberapa daerah termasuk Jeli, Gua Musang, Tanah Merah dan Kuala Krai. Namun ia akan diwartakan setelah mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri supaya aktiviti ini dapat berjalan secara sah mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu.
Namun beliau mengingatkan rakyat Kelantan bahawa tidak semua permohonan akan diberi kelulusan kerana ia akan diteliti dengan terperinci.
“Kita akan proses setiap permohonan secara berperingkat. Kelulusan tidak bersifat automatik kerana pemohon perlu memenuhi kriteria tertentu,” ujarnya.
Borang permohonan untuk mendapatkan lesen mendulang emas itu boleh didapati di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan (PTG) serta di pejabat-pejabat Majlis Daerah seluruh negeri.
Keputusan Kelantan yang membenarkan rakyatnya mendulang emas mendapat maklum balas positif dari pelbagai pihak terutama rakyat yang ingin mencari pendapatan tambahan.
Mereka menyifatkan tindakan itu satu langkah berani untuk memberi peluang kepada rakyat menikmati hasil rezeki melalui aktiviti mendulang emas yang terbukti mampu memberikan sumber pendapatan berbaloi sejak dahulu. - DagangNews.com








