KUALA LUMPUR 24 Feb — Kerajaan menegaskan perjanjian strategik dengan firma reka bentuk cip berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings plc akan terus berkuat kuasa meskipun sedang disiasat susulan dakwaan penyelewengan berkaitan pelaburan tersebut.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perjanjian yang dimeterai itu merupakan keputusan dasar di peringkat Jemaah Menteri dan kekal penting dalam memperkukuh strategi jangka panjang Malaysia bagi memajukan industri semikonduktor, khususnya dalam segmen reka bentuk cip bahagian hadapan (front-end).
“Di peringkat kementerian, kami memberi kerjasama penuh kepada siasatan, termasuk menyediakan dokumentasi dan memudah cara proses tersebut.
“Pada masa sama, perjanjian ini adalah keputusan dasar yang dibuat di peringkat Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran rasmi Banci Ekonomi 2026, pada Isnin.
Perjanjian itu kini dalam penelitian pihak berkuasa selepas tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu membuat laporan berhubung dakwaan salah guna dana berkaitan pelaburan tersebut, namun tanpa mengemukakan bukti.
Di bawah perjanjian yang ditandatangani pada Mac 2025, Arm akan menerima bayaran sebanyak AS$250 juta (RM972.75 juta) dalam tempoh 10 tahun sebagai balasan kepada lesen harta intelek dan reka bentuk subsistem komputer, yang akan dimanfaatkan oleh syarikat elektrik dan elektronik (E&E) tempatan.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempercepat peralihan ekosistem semikonduktor negara daripada aktiviti pemasangan dan ujian (back-end) kepada pembangunan reka bentuk serta inovasi cip berteknologi tinggi (front-end).
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah mengakui siasatan yang sedang berjalan berpotensi memberi kesan dari sudut reputasi dan persepsi pelabur asing terhadap landskap pelaburan negara.
“Salah satu keutamaan kami adalah memastikan keyakinan pelabur tidak terjejas.
“Ketika siasatan sedang berjalan, kami tidak dapat meramalkan bagaimana pelabur asing, termasuk pemain utama semikonduktor, akan melihat situasi ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kementerian akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif yang telah dirancang di bawah perjanjian tersebut, selaras dengan agenda transformasi industri semikonduktor negara.
“Ini bukan pengaturan jangka pendek. Ia merupakan usaha 10 tahun untuk mengalihkan segmen semikonduktor Malaysia daripada bahagian belakang kepada bahagian hadapan,” katanya. - DagangNews.com








