KUALA LUMPUR 13 Feb — Dagang NeXchange Bhd berkata, pihak penimbang tara telah memutuskan tidak menyebelahi unitnya, DNeX Semiconductor Sdn Bhd dan SilTerra Malaysia Sdn Bhd, dalam pertikaian berkaitan perjanjian pemegang saham dua firma itu dengan Tethystronics Technologies Company Ltd (TTCL).
Penganugerahan muktamad yang diterima daripada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) adalah memihak kepada TTCL, menurut DNeX dalam makluman yang difailkannya kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
TTCL ialah pemilik Mimastronics Technologies Company Ltd (Mimas), yang hanya menguasai sejumlah 40 peratus kepentingan dalam SilTerra manakala baki selebihnya iaitu 60 peratus lagi dimiliki oleh DNeX.
Sementara itu, pemilik utama TTCL pula ialah Beijing Integrated Circuit Advance Manufacturing dan High-End Equipment Equity Investment Fund Centre (Limited Partnership) yang lebih dikenali sebagai CGP.
Saman itu berkisar mengenai tindakan DNeX yang mahu melaksanakan haknya sebagai pemegang saham majoriti SilTerra untuk melantik pengarah dalam lembaga SilTerra melalui resolusi bertulis ahli (MWR); satu langkah yang dipertikaikan oleh TTCL.
"Secara khususnya, TTCL mendakwa DNeX Semiconductor dan SilTerra telah melanggar perjanjian mengenai struktur lembaga SilTerra dengan melantik pengarah tambahan secara tidak sah melalui kaedah MWR," kata DNeX dalam pemfailannya itu.
DNeX bagaimanapun berkata bahawa kos timbang tara yang dikaitkan dengan penganugerahan itu tidak akan mempunyai kesan kewangan yang material ke atas pendapatannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Kumpulan berkenaan namun berkata, ia akan cuba berusaha untuk menyemak semula keputusan yang ditetapkan oleh AIAC bersama barisan peguamnya.
"Walaupun berlaku perkara tersebut, SilTerra masih lagi kekal beroperasi dan perniagaan diteruskan seperti biasa," tambahnya dalam pemfailan berkenaan.
Menerusi kenyataan secara berasingan pula, jurucakap DNeX berkata keputusan AIAC tidak akan memberi kesan kepada operasi SilTerra dan isu pemilikan syarikat.
"Tiada perubahan kepada operasi harian SilTerra Malaysia Sdn Bhd. Timbang tara itu tidak juga memberi kesan kepada pemilikan syarikat," kata jurucakap itu.
Menurut jurucakap itu, DNeX telah mencalonkan empat pengarah tambahan seperti dibenarkan oleh perlembagaan SilTerra, tetapi ini ditentang oleh CGP yang mengambil pendirian bahawa komposisi pengarah mesti mengikut perjanjian pemegang saham.
"Oleh itu, keputusan AIAC menyatakan bahawa komposisi semasa lembaga SilTerra kekal tidak berubah iaitu lima pengarah," kata jurucakap itu, sambil menambah: "Bagaimanapun, timbang tara yang lebih penting masih berterusan berhubung dengan pelaburan CGP ke dalam DNeX Semiconductor."
Pada November 2022, DNeX Semiconductor bertindak mengemukakan notis timbang tara untuk memulakan prosiding timbang tara terhadap Mimas.
Dana DNeX dan CGP telah komited untuk suntikan modal sekurang-kurangnya RM200 juta dengan cara melanggan saham baharu yang akan diterbitkan oleh SilTerra. Berdasarkan 60 peratus kepentingan DNeX, suntikan modal oleh DNeX itu akan berjumlah kira-kira RM120 juta.
Kedua-dua pihak berusaha untuk memilih terbitan saham keutamaan boleh tukar tidak boleh tebus (ICPS) dalam DNeX Semiconductor, berjumlah RM100 juta, untuk diterbitkan oleh Mimas.
Ini akan menyebabkan Mimas memegang 33 peratus kepentingan dalam DNeX Semiconductor. Isu yang menjadi pertikaian ialah sama ada kelulusan awal diperlukan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk terbitan yang dicadangkan itu.
Mimas berpendapat bahawa kelulusan tersebut tidak diperlukan serta mengekalkan perjanjian pemegang saham dan perjanjian langganan adalah sah selain boleh dikuatkuasakan.
“Berdasarkan surat MITI bertarikh 28 Februari 2022, DNeX dan CGP mengetahui bahawa kelulusan awal daripada MITI diperlukan berhubung dengan pelaburan yang dicadangkan itu,” kata DNeX dalam pemfailan ketika itu.
“DNeX dan DNeX Semiconductor menganggap kelulusan tersebut sebagai perlu, lebih-lebih lagi berdasarkan terma dan syarat perjanjian pemegang saham dan perjanjian langganan yang memperuntukkan Mimas menjadi pemegang saham selepas penerbitan ICPS dan bukannya penukaran mereka.
Jika benar, ini meletakkan lesen [pembuatan], dan dengan itu operasi SilTerra, dalam keadaan berisiko,” tambahnya.
Harga saham DNeX ditutup satu sen atau 2.63 peratus lebih rendah kepada 37 sen pada hari Rabu, menjadikan permodalan pasaran kumpulan itu adalah RM1.29 bilion. - DagangNews.com








