Pengerang Refining kurangkan pengeluaran kilang selepas tutup unit petrol untuk pembaikan, lapor agensi berita asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengerang Refining kurangkan pengeluaran kilang selepas tutup unit petrol untuk pembaikan, lapor agensi berita asing

KUALA LUMPUR 24 Feb – Pengerang Refining Company (Prefchem) telah mengurangkan pengeluaran di kilangnya selepas menutup salah satu daripada dua unit pengeluaran petrol sehingga April bagi tujuan pembaikan, lapor agensi berita Reuters yang memetik sumber mengetahui perkara itu.

 

Menurut laporan itu dua daripada empat sumber berkenaan memberitahu, penutupan unit residue fluid catalytic cracking (RFCC) berkapasiti 70,000 tong sehari (bpd) itu dilaporkan berlaku secara tidak dijangka pada awal Februari bagi tujuan pembaikan.

 

Ini menyebabkan operasi kilang berkapasiti 300,000 bpd di Pengerang, Johor kini beroperasi pada sekitar 50% kapasiti, menurun daripada 60% bulan lalu.

 

Pengurangan pengeluaran turut mengakibatkan penurunan eksport produk bertapis pada bulan ini, dengan sekurang-kurangnya tiga kargo – satu petrol dan dua diesel – dikurangkan bagi penghantaran Februari, jelas sumber itu yang enggan dikenali. 

 

Prefchem ialah usaha sama 50:50 antara syarikat tenaga milik kerajaan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Saudi Aramco. Setakat ini, syarikat itu belum memberikan sebarang komen rasmi.

 

Satu daripada sumber berkenaan memberitahu, bagi penghantaran Mac, PETRONAS Trading Corp (Petco) dilaporkan mula menawarkan sekurang-kurangnya satu kargo diesel spot untuk muatan bulan Mac.

 

Bagaimanapun tiada tawaran bagi minyak bahan api terus sulingan rendah sulfur untuk Februari atau Mac setakat ini, menurut pedagang lain pula.