Pengelasan semula data diyakini beri gambaran sebenar dagangan di Bursa Malaysia, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengelasan semula data diyakini beri gambaran sebenar dagangan di Bursa Malaysia, kata CIMB Securities

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 7 April — Langkah pengelasan semula data dagangan oleh Bursa Malaysia mendedahkan gambaran sebenar situasi pasaran yang sebelum ini mungkin tersasar, menurut CIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut menambah, ini termasuk isu penyertaan pelabur runcit yang sebenarnya jauh lebih tinggi, manakala aliran masuk dana asing adalah kukuh daripada jangkaan sebelumnya.


Justeru, ia menilai semakan semula rangka kerja segmen pelabur yang berkuat kuasa 6 April 2026 sebagai kemas kini pertama sejak 2008 dan bertujuan bagi meningkatkan ketelusan pasaran di bursa.


"Kami berpandangan positif terhadap perubahan tersebut kerana mencerminkan sumber sebenar aliran dana, khususnya dalam era penggunaan broker digital yang semakin meluas," kata CIMB Securities.


Menurutnya, selepas pengelasan itu, penyertaan pelabur runcit didapati naik ketara kepada 26.68% hingga 33.19% antara 2024 hingga suku pertama 2026, berbanding 17.07% hingga 20.96% sebelum ini.


Usaha tersebut katanya, berikutan akaun nominee yang sebelum ini diklasifikasi sepenuhnya sebagai institusi, kini dipecahkan kepada runcit atau institusi berdasarkan data pemilik manfaat sebenar.


Jelas CIMB Securities, meskipun penyertaan runcit meningkat, institusi tempatan masih lagi kekal sebagai segmen terbesar dengan pegangan antara 39.18% hingga 42.68% daripada aktiviti dagangan.

 

Artikel berkaitan: Bursa Malaysia klasifikasikan semula data saham ikut pemilik sebenar berkuat kuasa 6 April 2026


"Institusi asing pula berada di tempat ketiga dengan 27.63% hingga 30.63%, manakala dari sudut aliran dana, data baharu menunjukkan pelabur asing mencatat aliran masuk bersih lebih kukuh," ujarnya.


Kelompok berkenaan membeli RM2.73 bilion pada suku pertama 2026, manakala institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing mencatat aliran keluar bersih RM1.69 bilion dan RM1.04 bilion.


CIMB Securities berkata, antara perubahan utama rangka kerja baharu ini termasuk, pengasingan lebih tepat bagi institusi milik asing yang diperbadankan di Malaysia berdasarkan sumber dana.


Bursa Malaysia juga menyusun semula data sejarah bermula 2024 bagi memastikan kesinambungan analisis dan mengelaskan akaun nominee berdasarkan maklumat pemilik sebenar peringkat dagangan.


"Bagaimanapun, langkah perubahan ini langsung tidak menjejaskan aspek dagangan, penjelasan atau pemilikan saham kerana ia hanya melibatkan kaedah pelaporan," kata firma penyelidikan tersebut.


Sejajar dengan perubahan tersebut, CIMB Securities memaklumkan akan menambah baik segala laporan aliran dana mingguannya bagi mencerminkan klasifikasi baharu berkenaan yang dinilai lebih telus.


Secara keseluruhan, ia melihat langkah Bursa Malaysia sebagai pemangkin penting dalam meningkatkan ketelusan pasaran, sekali gus membantu pelabur membuat penilaian lebih tepat. - DagangNews.com