Bursa Malaysia klasifikasikan semula data saham ikut pemilik sebenar berkuat kuasa 6 April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia klasifikasikan semula data saham ikut pemilik sebenar berkuat kuasa 6 April 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 April – Bursa Malaysia Berhad telah melaksanakan pengkelasan semula data perdagangan ekuiti berkuat kuasa 6 April 2026 bagi memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai penglibatan pelabur dan aliran dana dalam pasaran saham tempatan.

 

Pengkelasan semula ini bertujuan untuk meningkatkan ketepatan statistik penglibatan pelabur dengan memperincikan bagaimana aktiviti perdagangan diklasifikasikan mengikut segmen pelabur. Ia merupakan penambahbaikan pertama sejak statistik penglibatan pelabur diperkenalkan pada tahun 2008.

 

Bursa Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan antara perubahan utama termasuk pengkelasan semula akaun nominee.

 

“Sebelum ini, semua perdagangan melalui akaun nominee dikira sebagai pelabur institusi. Kini, setiap perdagangan akan dikategorikan mengikut maklumat pemilik akhir, sama ada runcit atau institusi.

 

“Perubahan ini juga memastikan aktiviti pelaburan domestik lebih tepat. Institusi milik asing yang ditubuhkan di Malaysia akan dikira berdasarkan sumber dana dan tempat penubuhan, bukannya semua perdagangan dikira sebagai asing.

 

“Langkah ini selaras dengan data pemilikan saham yang direkodkan pada tarikh penyelesaian perdagangan (T+2), bagi memastikan statistik perdagangan lebih tepat dan mencerminkan pemilik sebenar saham,” menurut kenyataan itu.

 

Pengkelasan semula ini hanya melibatkan laporan penglibatan pelabur pada tahap perdagangan dan tidak menjejaskan jumlah nilai perdagangan harian. Ia juga tidak memberi kesan kepada data pemilikan saham.

 

Bursa Malaysia sebelum ini mengumumkan langkah ini pada 24 Februari 2026, sebagai persediaan menghadapi peningkatan penggunaan akaun nominee, terutama melalui platform broker digital yang semakin popular.

 

Sistem laporan yang lebih canggih kini membolehkan klasifikasi terperinci pada setiap perdagangan dilakukan secara konsisten, sekaligus meningkatkan ketelusan pasaran.

 

Bursa Malaysia akan terus berinteraksi dengan pihak berkepentingan bagi memastikan pemahaman terhadap data baru ini dan interpretasi yang lebih baik mengenai aktiviti pasaran.

 

Bagi maklumat lanjut mengenai pengkelasan semula, orang ramai boleh merujuk kepada bahagian soalan lazim yang disediakan di laman web Bursa Malaysia.

 

Bursa Malaysia ditubuhkan pada tahun 1976 dan disenaraikan pada 2005. Kini ia berfungsi sebagai bursa multi-aset terbesar di ASEAN, menawarkan pelbagai kemudahan pelaburan, pengumpulan modal dan perkhidmatan berkaitan pasaran modal bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan masyarakat. - DagangNews.com