Pengarah ladang Farm Fresh, Jacob Mathan disahkan terkorban nahas helikopter di Filipina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengarah ladang Farm Fresh, Jacob Mathan disahkan terkorban nahas helikopter di Filipina

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac – Farm Fresh Berhad mengesahkan Pengarah ladangnya, Jacob Mathan, adalah rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas helikopter di Pililla, wilayah Rizal, Filipina pada 3 Mac 2026.


Menerusi satu hantaran rasmi dalam akaun Facebook syarikat itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Loi Tuan Ee berkata, helikopter berkenaan dilaporkan mengalami masalah enjin ketika dalam penerbangan biasa.


Menurut beliau, mendiang dijadualkan mengikuti lawatan rutin ke tapak ladang yang berpotensi, dan mula menyertai pentadbiran kumpulan berkenaan sebagai pelatih industri kira-kira 13 tahun lalu.


"Mendiang menunjukkan sifat bertanggungjawab yang tinggi serta mempunyai kesungguhan untuk belajar sebelum dinaikkan pangkat sehingga berjaya memegang jawatan sebagai pengarah ladang," tambahnya.


Jacob, 35, juga kata Tuan Ee, seorang yang ceria, baik dalam tutur kata dan perbuatan, serta tidak pernah menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan warga Farm Fresh sendiri selama ini.


Kebaikan mediang tambahnya, terserlah dalam pengurusan ladang, dengan memainkan peranan penting memacu pertumbuhan divisyen ladang tenusu syarikat dan membina hubungan baik dengan pelbagai pihak.


Ini jelasnya, termasuk bersama pasukan dalaman, kontraktor, pembekal serta beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur.


"Kepimpinan mendiang dalam divisyen ladang yang dibangunkannya sendiri sebelum ini diyakini dan kami berharap mampu meneruskan kesinambungan operasi walaupun berdepan kehilangan besar," katanya.


Sementara itu Tuan Ee mengesahkan Ketua Pengarah Eksekutif Farm Fresh di Filipina, Shawn Pu dilaporkan hanya mengalami kecederaan, namun mangsa difahamkan sudah berada dalam keadaan yang stabil.


Media Filipina melaporkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina (CAAP) menjalankan siasatan berhubung insiden pendaratan cemas helikopter jenis Bell 505 yang dalam perjalanan dari Manila.


Farm Fresh dalam kenyataannya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang yang meninggalkan seorang balu dan menyeru petugasnya tabah meneruskan legasi beliau. - DagangNews.com