KUALA LUMPUR 25 Feb – Penyusutan margin pada suku keempat tahun kewangan 2025 menekan prestasi Gas Malaysia Berhad apabila keuntungan bersihnya merosot serta gagal memenuhi ramalan pasaran.
Keadaan tersebut mendorong dua firma penyelidikan melakukan semakan turun unjuran mereka berikutan kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih yang susut 14% tahun ke tahun (YoY) kepada RM382 juta.
Maybank Investment Bank berkata, keputusan 4QFY25 adalah di bawah jangkaan, berikutan jurang jualan dan kos yang lebih rendah, kemungkinan disebabkan pelarasan caj harga gas secara retrospektif.
"Kami menganggarkan 'spread' 4QFY25 sekitar RM3.00/mmBTU, lebih rendah berbanding suku sebelumnya. Tekanan margin menjejaskan keuntungan keseluruhan walaupun jumlah jualan gas meningkat," katanya.
Selain itu, perbelanjaan modal (capex) yang tinggi pada FY25, tahun terakhir di bawah Tempoh Kawal Selia 2 (RP2), turut menyebabkan syarikat beralih kepada kedudukan hutang bersih sepanjang 4QFY25.
Sehubungan itu, Maybank IB menurunkan unjuran keuntungan bersih FY26 dan FY27 masing-masing 7% dan 8%, mengambil kira trend penurunan harga gas domestik yang boleh mengecilkan keuntungan runcit.
Bagaimanapun jelasnya, keadaan ini dijangka sebahagiannya diimbangi oleh potensi peningkatan keuntungan pengedaran susulan kenaikan tarif di bawah Tempoh Kawal Selia 3 (RP3) bagi 2026-2028.
"Justeru mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) baharu RM3.90 berasaskan penilaian aliran tunai diskaun (DCF), serta mengunjurkan nisbah pembayaran dividen 75%," tambahnya lagi.
Sementara itu, MBSB Research berpandangan keputusan Gas Malaysia pada FY25 secara keseluruhan selari jangkaan, merangkumi 93% daripada anggaran konsensus dan 91% daripada unjuran firma itu.
Hasil kumpulan tersebut susut kira-kira 8.8% YoY kepada RM7.34 bilion berbanding RM8.04 bilion sebelumnya, didorong oleh faktor harga jualan purata gas asli dan jumlah jualan lebih rendah.
Namun jelasnya, pendapatan fi tol di bawah rangka kerja kawal selia serta permintaan stabil daripada pelanggan industri dijangka membantu kumpulan itu mengurangkan impak penurunan tersebut.
"Untung kasar turun 12.1% YoY kepada RM521.4 juta, manakala untung bersih susut 13.5% YoY kepada RM381.7 juta. Kami mendapati tiada item luar biasa material dilaporkan," kata MBSB Research.
Perkembangan itu tambahnya, menjadikan keuntungan dilaporkan Gas Malaysia sebagai gambaran tepat prestasi teras, dan ia menjangkakan prestasi kumpulan kekal stabil dipacu kontrak jangka panjang.
Selain itu, kedudukan kukuh syarikat tersebut sebagai peruncit gas asli utama di Malaysia, serta inisiatif pertumbuhan kepada rumusan tenaga lebih bersih dijangka menyumbang prospek positif.
Ini jelas MBSB Research, termasuk operasi stesen suntikan biometana yang berpusat di Kluang, Johor mulai separuh kedua 2025 diramal menjana pertumbuhan pendapatan kumpulan bagi jangka sederhana.
"Bagaimanapun, risiko penurunan kekal tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi domestik yang lebih perlahan, yang boleh menjejaskan permintaan tenaga," katanya sambil mengekalkan saranan ‘neutral’.
Ia turut menetapkan TP tidak berubah pada RM4.48 sesaham, memandangkan potensi kenaikan harga saham Gas Malaysia dilihat terhad dalam persekitaran margin yang semakin normal. - DagangNews.com








