Penganalisis ramal projek solar terkini diraih Pekat mampu untung bersih RM4.3 juta setahun mulai 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis ramal projek solar terkini diraih Pekat mampu untung bersih RM4.3 juta setahun mulai 2027

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Feb — Projek solar komersial bersepadu dengan sistem simpanan tenaga bateri (BESS) yang diperoleh Pekat Group Berhad mampu menjana RM4.3 juta keuntungan bersih setahun mulai 2027.


Perkembangan tersebut menjadi faktor utama yang mendorong dua firma penyelidikan terus mengekalkan pandangan positif terhadap prospek pendapatan jangka panjang kumpulan rumusan tenaga hijau itu.


Mereka sependapat projek di Pahang itu bukan sahaja menawarkan pulangan tinggi berbanding aset berskala utiliti, malah mengukuh kedudukan syarikat dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).


"Projek dimeterai di bawah perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun itu akan menyumbang RM4.3 juta keuntungan bersih setahun bermula FY27," kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Sumbangan bagi FY26 adalah kecil susulan sasaran tarikh operasi komersial (COD) pada Oktober ini, namun ia mengekalkan syor 'beli' dan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM2.00 daripada RM1.98.


Unjuran berkenaan jelas firma berkenaan, selepas mengambil kira penilaian aliran tunai dengan diskaun (DCF) projek tersebut, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan tahap pinjaman.


Maybank IB menganggarkan projek itu memerlukan kos pelaburan RM88 juta, dibiayai melalui struktur 80% hutang dan 20% ekuiti, serta berpotensi menjana hasil yang positif sepanjang tempoh konsesi.


Artikel berkaitan: Pekat Group meterai perjanjian pembelian tenaga bernilai RM239 juta


"Berdasarkan andaian tarif 27 sen/kWh, projek ini diunjur memberikan kadar pulangan dalaman (IRR) ekuiti sekitar 19%, jauh lebih tinggi berbanding purata 8% bagi aset solar berskala utiliti," katanya.


Sementara itu, Phillip Capital turut mengekalkan saranan 'beli' dengan TP tidak berubah iaitu RM1.90, menilai projek tersebut sebagai pemacu utama keterlihatan pendapatan jangka panjang Pekat.


Ia menganggarkan projek berkenaan mampu menyumbang keuntungan bersih RM4 juta setahun, bersamaan kira-kira 7% daripada unjuran untung selepas cukai pada 2027, dengan IRR ekuiti dianggarkan 17%.


Andaian tersebut katanya, berdasarkan kos pelaburan sekitar RM90 juta dan struktur pembiayaan 80:20, namun firma itu turut melihat potensi peningkatan pendapatan menerusi perjanjian tertentu.


"Antaranya melalui skim perkongsian prestasi tenaga, memandangkan komponen BESS berupaya menjana penjimatan caj permintaan maksimum bagi pelanggan industri," kata Phillip Capital dalam notanya.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma penyelidikan tersebut berpandangan projek solar komersial bersepadu ini meningkatkan kualiti pendapatan Pekat, dan menawarkan pulangan yang lebih tinggi.


Selain itu, aliran tunai jangka panjang yang stabil serta membuka laluan kepada banyak peluang projek pada masa hadapan, meskipun terdedah risiko pelaksanaan dan persaingan pasaran. - DagangNews.com