KUALA LUMPUR, 30 Jan 2026 – Pekat Group melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung, Pentas RE Sdn. Bhd., menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan pembeli tenaga industri untuk membekalkan elektrik daripada sistem penjanaan tenaga solar fotovoltaik yang akan dibangunkan di Kuantan, Pahang.
PPA itu melibatkan pembangunan ladang solar berkapasiti 25 MWac berserta Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri 40 MWh, dengan tempoh operasi komersial dijangka selama 21 tahun bermula Oktober 2026.
Nilai projek diunjurkan mencapai kira-kira RM239 juta, berdasarkan hasil dijangka sepanjang tempoh projek.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pentas RE akan mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan ladang solar tersebut, manakala aset tertentu seperti suis utama dan meter akan dipindahkan kepada Pembeli pada tarikh operasi komersial (COD).
“PPA ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan Pekat sepanjang tempoh projek dan tidak memberi kesan ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham utama,” kata syarikat itu.
Syarikat menambah risiko yang dijangka hanyalah risiko biasa berkaitan operasi dan kemungkinan tidak siap projek, dengan langkah mitigasi akan diambil sewajarnya.
Tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan dalam PPA berkenaan.
Lembaga Pengarah Pekat menegaskan bahawa PPA tersebut adalah dalam urusan perniagaan biasa syarikat dan selaras dengan kepentingan terbaik Kumpulan Pekat. - DagangNews.com








