Penganalisis meramal KLK dikhuatiri terjejas akibat isu margin hiliran, unjuran prestasi lemah pada 2QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis meramal KLK dikhuatiri terjejas akibat isu margin hiliran, unjuran prestasi lemah pada 2QFY26

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Feb – Tekanan margin segmen hiliran serta unjuran prestasi lebih lemah pada suku kedua FY26 menjadi isu kritikal dalam penilaian terkini terhadap Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).


Meskipun prestasi suku pertama melepasi atau menepati jangkaan penganalisis, mereka mengekalkan saranan berhati-hati terhadap kaunter perladangan itu dengan unjuran berbeza bagi suku berikutnya.


MBSB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ dan harga sasaran (TP) RM20.15, berdasarkan unjuran perolehan sesaham FY26 sebanyak 108.9 sen yang dipadankan  hampir purata sejarah lima tahun.


"Prestasi 1QFY26 mencatat keuntungan bersih teras RM281.8 juta, susut 22.2% tahun ke tahun (YoY), tetapi masih dalam jangkaan, menyumbang 23.9% daripada unjuran penuh tahun kami sendiri," katanya.


Segmen huluan jelasnya, kekal menjadi pemacu utama dengan sumbangan meningkat 11% YoY disokong pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (FFB) sebanyak 6.5% dan kos pengeluaran lebih rendah.


Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) pula tambah MBSB Research, meningkat kira-kira 7.3% kepada 384,000 tan, manakala kadar perahan minyak (OER) dan hasil minyak didapati sudah bertambah baik.


Bagaimanapun kata firma penyelidikan tersebut, harga purata MSM yang direalisasi menurun sebanyak 4.3% kepada RM3,845 bagi setiap tan, walaupun harga isirung sawit (PK) meningkat kira-kira 10.8%.


"Kami menjangkakan pemulihan hasil BTS dan OER dapat dikekalkan melebihi paras sebelum pandemik Covid-19 dalam tempoh tiga tahun akan datang berikutan usaha pemulihan ladang KLK," jelasnya.


Margin hiliran namun tambah MBSB Research, dijangka terus tertekan berikutan kos bahan mentah yang tinggi bagi operasi penapisan, manakala dalam tempoh sama, segmen pembuatan kembali meraih untung.


Keadaan positif tersebut katanya, didorong pemulihan subsegmen oleokimia, sementara keuntungan hartanah KLK didapati merosot sebanyak 64.8% YoY akibat pengiktirafan hasil yang lebih rendah.


Dalam pada itu, Maybank Investment Bank mengekalkan saranan ‘pegang’ dan TP RM20.30, berdasarkan 19 kali nisbah harga kepada hasil (PER) FY26, atau 0.5 sisihan piawai di bawah purata tujuh tahun.


"Kami berpandangan keputusan 1QFY26 melepasi jangkaan berikutan prestasi hiliran lebih baik serta ketiadaan perakaunan kerugian syarikat bersekutu daripada Synthomer pada suku tersebut," jelasnya.


Firma penyelidikan berkenaan menyifatkan, keuntungan bersih teras KLK setelah diselaraskan pada 1QFY26 yang berjumlah RM405 juta, sebagai mewakili kira-kira 34% daripada unjuran penuh tahunnya.


Segmen perladangan kata Maybank IB, mencatat perolehan kasar lebih tinggi 11% YoY kepada RM630 juta, disokong peningkatan pengeluaran BTS dan harga PK, meskipun harga CPO pula lebih rendah.


Bahagian pembuatan pula jelasnya, kembali mencatat pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) RM83 juta berbanding kerugian sebelum ini, yang dipacu pemulihan dalam sektor oleokimia dan penapisan.


"Kami namun berpandangan prestasi kukuh KLK mungkin sukar diulangi, serta menjangka 2QFY26 yang lemah susulan output perlahan, trend harga MSM mendatar serta kerugian tertentu," tambahnya lagi.


Secara keseluruhan, asas perniagaan kekal kukuh terutama segmen perladangan, tetapi tekanan margin hiliran dan ketidaktentuan prestasi suku seterusnya mengehadkan penarafan semula. - DagangNews.com