Penganalisis menilai peningkatan keuntungan Kossan bagi FY25 disebabkan penjimatan kos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis menilai peningkatan keuntungan Kossan bagi FY25 disebabkan penjimatan kos

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Feb — Prestasi terkini Kossan Rubber Industries Berhad mencetuskan perbezaan ketara dalam kalangan penganalisis yang terus mengekalkan saranan susulan pemulihan keuntungan.


Ada pula firma penyelidikan masih berpendirian kekal berhati-hati dan menyifatkan keuntungan bersih teras bagi FY25 melonjak walaupun hasil kumpulan berkenaan sebenarnya mencatatkan penurunan.


Antaranya, MBSB Research berpandangan, situasi itu mencerminkan keberkesanan langkah penjimatan kos dan peningkatan harga jualan purata (ASP) yang dilaksanakan kumpulan sepanjang tahun berkenaan.


"Pendapatan FY25 Kossan mengatasi jangkaan kami dengan keuntungan bersih teras boleh agih kepada pemegang saham meningkat 36% tahun ke tahun (YoY) kepada RM130 juta," kata firma penyelidikan itu.


Jelasnya, segmen sarung tangan namun mencatatkan penurunan hasil berikutan gangguan bekalan gas selama 10 hari dan masalah perkapalan yang dikenal pasti menjejaskan kadar jumlah pengeluaran.


Bagaimanapun kata MBSB Research, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen itu meningkat kira-kira 37% bagi FY25 disumbang ASP yang lebih tinggi serta kecekapan operasi dikenal pasti menurunkan kos.


Bagi segmen produk getah teknikal (TRP), pendapatan FY25 susut 7% manakala PBT merosot 46% akibat gangguan bekalan gas, kos pengeluaran lebih tinggi dan isu kesan terjemahan mata wang asing.


"Segmen bilik bersih pula mencatatkan penurunan hasil, namun PBT pada FY25 didapati meningkat 12% YoY berikutan pengurusan kos lebih baik yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan Kossan," katanya.


Artikel berkaitan: Untung bersih 4QFY25 Kossan melonjak 68.5% kepada RM46.67 juta,  hasil tahunan susut 8.78% kepada RM1.75 bilion


Justeru, MBSB Research menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu bagi FY26 hingga FY28 sebanyak 2% hingga 3%, serta menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM1.37 daripada RM1.30. 


Firma itu berpandangan transformasi digital, automasi serta pengoptimuman kos dijangka dapat membantu kumpulan tersebut berdepan lebihan bekalan global dan persaingan sengit dari China.


Sebaliknya, CGS International (CGSI) mengekalkan saranan ‘pengurangan’ walaupun firma penyelidikan tersebut mengakui prestasi pada tempoh suku keempat FY25 sebenarnya sudah mengatasi jangkaan.


"Bagaimanapun kami menegaskan lonjakan ini didorong pelarasan cukai dan bukannya perubahan operasi yang ketara. Dividen FY25 diisytihar hanya 2 sen sesaham, lebih rendah daripada jangkaan," katanya.


Firma berkenaan namun menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Kossan bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 6.7% dan 6.5% susulan pelarasan andaian cukai serta pengenalan unjuran FY28.


Walaupun margin untung kasar menunjukkan pemulihan dengan anggaran AS$3 (RM11.70) bagi setiap 1,000 keping, CGSI berpendapat penilaian semasa sahamnya adalah mahal berbanding purata rakan global.


Keadaan ini jelasnya, terutama dengan pulangan atas ekuiti (ROE) kumpulan itu hanya 4.8%, dan ia menaikkan sedikit TP kepada 85 sen daripada 83 sen, tetapi mengekalkan saranan ‘pengurangan’.


"Kami mengakui peningkatan kecekapan operasi Kossan, tetapi berbeza pandangan terhadap pertumbuhan dan tahap penilaian saham dalam persekitaran industri sarung tangan," katanya. - DagangNews.com