Penganalisis khuatir Selat Hormuz hampir lumpuh, harga minyak global mungkin naik kepada AS$93 jejaskan sektor O&G | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis khuatir Selat Hormuz hampir lumpuh, harga minyak global mungkin naik kepada AS$93 jejaskan sektor O&G

Gambar kredit Google Map
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mac – Risiko gangguan bekalan minyak global kembali memuncak apabila konflik ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran mencetuskan kesesakan di Selat Hormuz.


Menurut penganalisis, keadaan tersebut sekali gus dikhuatri meningkatkan premium risiko geopolitik serta mendorong lonjakan kadar tambang perkapalan minyak mentah bagi perjalanan di sekitar Teluk Parsi.


Harga Brent berpotensi melonjak kepada AS$93 (RM363) setong berbanding AS$73 (RM285) pada 27 Februari 2026, susulan gangguan eksport 10 juta tong sehari (mbpd) daripada rantau Timur Tengah.


Justeru, CGS International mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia dengan pilihan utama ialah MISC Berhad, Dialog Group dan Dayang Enterprise Holding.


"Kadar sewaan semasa kapal tangki jenis VLCC melonjak kepada AS$200,000 (RM780,836) sehari selepas 27 Februari 2026 berbanding purata tahun ini hanya AS$100,000 (RM390,378) sehari," kata firma itu. 


Jelasnya, kadar suezmax dan aframax turut meningkat ketara, didorong kenaikan pengeluaran oleh OPEC+ sebelum ini serta peralihan penghantaran kepada penggunaan kapal tangki jenis arus perdana.


CGSI berpandangan konflik semasa berpotensi melonjakkan kadar tambang kerana pengimport mungkin mencari bekalan alternatif dari Amerika Utara dan Selatan meskipun memanjangkan jarak penghantaran.


Dalam senario sama ada sekatan terhadap Iran akan terus diperketatkan atau dilonggarkan, firma penyelidikan itu menjangkakan permintaan terhadap kapal tangki arus perdana akan meningkat tinggi.


"Perkembangan tersebut memberi manfaat secara langsung kepada MISC, dengan segmen kapal tangki petroleum diunjur menyumbang hampir separuh keuntungan sebelum cukai (PBT) pada FY26," tambahnya.


Bagi segmen huluan pula kata CGSI, Hibiscus Petroleum Berhad dan Dialog diramal menerima banyak tempias positif daripada situasi kenaikan harga minyak antarabangsa dalam jangka sederhana.


Sementara itu, impak terhadap PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) adalah bercampur, dengan gangguan eksport urea dan metanol Iran boleh menyokong harga produk divisyen baja dan metanolnya.


Bagaimanapun, kos bahan suapan lebih tinggi seperti nafta berpotensi menekan margin operasi tertentu, dan firma berkenaan menjangka lonjakan harga minyak di pasaran hanya bersifat sementara.


"OPEC+ sendiri sudah memutuskan peningkatan pengeluaran sebanyak 0.206 mbpd mulai 1 April 2025, yang boleh membantu menstabilkan pasaran apabila ketegangan di rantau itu mula reda," jelas CGSI.


Public Investment Bank pula menilai premium risiko geopolitik kembali ketara dalam harga minyak, dengan jangkaan kenaikan segera setong berpotensi menolak Brent kepada AS$90 (RM351) setong.


Dalam senario lebih buruk melibatkan gangguan transit berpanjangan di Selat Hormuz, harga boleh diniagakan sementara dalam julat AS$110 (RM429) setong, tetapi bukan bersifat jangka panjang.


Secara asasnya kata firma itu, bekalan global masih lagi mencukupi berikutan keputusan OPEC+ meningkatkan kuota pengeluaran sekitar 2.9 juta tong sehari antara April 2025 hingga Disember 2025. 


"Selain itu, OPEC+ ada kapasiti lebihan signifikan, terutama Arab Saudi dan UAE, sebagai penampan gangguan jangka pendek, di samping pengeluaran bukan OPEC+ seperti Brazil," kata PublicInvest.


Sehubungan itu, ia terus mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor O&G dengan memilih Hibiscus Petroleum dan Dialog sebagai penerima manfaat utama apabila harga minyak global menjadi tinggi.

 

 

 

 

 


Bagi syarikat perkhidmatan seperti Bumi Armada Berhad, kesan positif dijangka lewat kerana momentum perbelanjaan modal huluan yang mampan diperlukan sebelum kepada penganugerahan kontrak baharu.


Walaupun penutupan penuh Selat Hormuz dilihat PublicInvest sebagai tidak mungkin berlaku kerana akan menjejaskan eksport Iran sendiri, risiko gangguan sementara akan meningkat secara bermakna.


"Oleh itu, pasaran dijangka terus memasukkan premium risiko lebih tinggi dalam harga minyak selagi ketegangan ketenteraan belum reda di Teluk Parsi," katanya. - DagangNews.com