Pendekar tidak bertarung kerana benci tetapi kerana prinsip | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendekar tidak bertarung kerana benci tetapi kerana prinsip

Oleh NINOT AZIZ

Beberapa tahun lalu, sewaktu saya menulis Lipur Lara Alam Melayu, ilham untuk mengangkat kisah Tun Saban dan pertarungannya yang sengit dengan Megat Terawis hadir bagaikan panggilan dari alam silam.

 

Saya tidak pernah mengkaji kedua-dua pendekar ini sebelumnya, namun semangat juang mereka, antara kesetiaan dan kebenaran, jatidiri dan akal budi, terasa begitu dekat — seolah-olah sebati dalam darah daging dan naluri.

 

Adab dan adat menjadi nadi dalam setiap baris cerita, mencerminkan kehalusan budaya serta keteguhan jati diri bangsa Melayu yang luhur dan teruji zaman.

 

Ketika menulis kisah merka, terasa bagai Tun Saban membisikkan kata. Bukan sebagai watak rekaan, tetapi sebagai warisan hidup yang telah menebarkan benih dalam jiwa-jiwa yang masih mencari akar.

 

 

Tun Saban

 


Sampai saat dan ketika, Megat Terawis berjalanlah ke arah rumah Tun Saban.

 

Tun Saban pun tahu, harinya telah tiba. Sesiapa pun yang datang, siapalah gerangan. Yang pasti, hancur badan dikandung tanah jua.

 

Maka Tun Saban mengambil kalam, menulis wasiat pesanan untuk pendekar bakal tiba.”

 

Pertama, jagalah adat, resam dan budaya
Kedua, lindungilah mereka yang dianiaya
Ketiga, nikahilah Tun Merah anakanda tercinta

 

Tun Saban duduk membaca al-Quran di serambi. Teringat dunia Melaka yang ditinggalkan. Apakah nasib dunia Melayu di hari-hari terakhir zaman ini?

***


 

Datuk Ibrahim Ghaffar

Pada waktu itu juga, saya diperkenalkan kepada sebuah puisi membakar jiwa — Sumpah Pendekar, nukilan Datuk Ibrahim Ghaffar. Tatkala bait-baitnya dibaca, saya terasa seolah-olah segala urat nadi dan jiwa memberontak.

 

Ada kerinduan terhadap sesuatu yang semakin hilang — satu ilmu yang dulu mengisi gelanggang, surau dan istana, kini hanya tersisa sebagai bayang dalam lipatan sejarah.

 

Sumpah pendekar…
Pantang undur walau setapak
Pantang maut sebelum ajal
Pantang derhaka pada titah
Pantang keris di pinggang kalau tidak berani mati

 

Berdentum guruh di langit
Merkah bumi dipijak, “PENDEKAR TAKKAN UNDUR SETAPAK”

 

Puisi ini menyuluh makna pendekar bukan sekadar tubuh yang tangkas dan bersenjata, tetapi jiwa yang bersumpah — memegang prinsip, menjunjung maruah, dan menjadi benteng antara yang hak dan yang batil.

 

Silat bukan sekadar gerak; ia adalah sumpah, adat, dan amanah yang diwarisi turun-temurun.

 

Pada hujung minggu baru-baru ini, akhirnya saya berpeluang menonton filem Gayong — sebuah filem tempatan diberi perhatian oleh pencinta warisan dan peminat filem tanah air.

 

Bagi yang belum menontonnya, silalah segera berbuat demikian. Filem ini bukan sekadar paparan aksi memukau, tetapi satu penghormatan kepada seni persilatan dan maruah bangsa.

 

 

Gayong

 

 

Apa yang paling menyentuh hati ialah bagaimana Gayong mengangkat nilai adab dalam pertempuran — satu ajaran yang kian terhakis dalam dunia moden. Dalam filem ini, kita lihat bagaimana lawan dihormati, air muka dijaga, dan keadilan tetap ditegakkan walaupun dalam saat genting.

 

Pendekar tidak bertarung kerana benci, tetapi kerana prinsip. Mereka tidak membunuh untuk menang, tetapi berjuang untuk menegakkan kebenaran.

 

Watak-watak dalam filem ini tidak hanya hebat bersilat, tetapi luhur pekerti. Mereka tidak hanya berlawan dengan tangan dan kaki, tetapi dengan akal dan hati. Ini bukan sekadar koreografi — ini adalah naratif tentang nilai, keberanian dan kemanusiaan.

 

Gayong juga berjaya mempersembahkan keindahan langkah, bunga dan buah silat yang dilatari muzik tradisional dan semangat perjuangan. Koreografi yang teliti dan berseni membangkitkan satu aura luar biasa — membuatkan kita terlupa bahawa ini hanyalah sebuah filem. Ia terasa nyata, hidup, dan meresap jauh ke dalam jiwa penonton.

 

Beto Kushairi dan Yayan Ruhian punyai aura tersendiri menghidupkan watak pengasas Seni Silat Gayong, Allahyarham Dato Meor Abdul Rahman Bin Daeng Uda Muhd Hashim dan muridnya yang pertama, Wak Kusang Pulau Sudong. 


Ini karya hebat, namun, ada ruang untuk diperhalusi. Latar belakang watak Meor dan Mat — dua teraju utama — boleh diberi sisipan tambahan bagi menjelaskan mengapa Meor tidak mahu mengajar ilmu persilatan?

 

Kenapa Meor dan Mat begitu akrab, fasih berbahasa Inggeris dan mempunyai kemahiran mekanik. Kenapa Meor berpakaian kemeja dan bukan berbaju Melayu?

 

Barangkali patut ada babak ringkas yang menyentuh latar pendidikan atau pengalaman hidup mereka. Ini bukan kelemahan, tetapi peluang untuk menjadikan filem ini lebih realistik, kukuh dan dipercayai.

 

Secara keseluruhan, Gayong bukan sekadar filem — ia adalah satu pengisytiharan cinta terhadap warisan. Ia adalah seruan kepada generasi kini untuk kembali menelusuri akar, menggenggam semula nilai-nilai murni, dan menyemai semula semangat keberanian, sopan santun dan kebijaksanaan yang menjadi lambang seorang pendekar.

 

Penataan bahasa dalam filem begitu terserlah. Contoh apabila Meor beraksi dengan Master Chang. Apabila aksi dan kata-kata menjadi satu suntingan yang padu, penghayatan penonton begitu bermakna. Begitu juga perjuangan mati-matian Meor di hujung cerita. Penuh adab pendekar tinggi yang patut diambil iktibar masyarakat, pemimpin dan rakyat hari ini. 

 

Kita kembali kepada puisi Datuk Ibrahim Ghaffar yang merangkap karya ini:

Tujuh petala bumi,
Tujuh petala langit,
Dari gunung ke lembah curam,
Dari sungai ke lautan
bergelombang,
Kembara adalah setia pada sumpah.
Kemenyan dan setanggi adalah penyeri kehadiran kita,
Warisan berkurun dari Dato’ Laksamana…
Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
 - DagangNews.com


 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA