Syamsul Farizz Nadzeri dilantik sebagai CEO Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syamsul Farizz Nadzeri dilantik sebagai CEO Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 18 Julai – Kementerian Ekonomi mengumumkan pelantikan Syamsul Farizz Nadzeri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), ketika agensi itu memulakan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) 2026–2030.

 

Syamsul Farizz menggantikan Dato' Baidzawi Che Mat yang menerajui ECERDC sejak Mac 2019.

 

Pelantikan itu dibuat pada fasa awal pelaksanaan pelan lima tahun yang memberi tumpuan kepada pembangunan wilayah yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing, di samping mempercepat pelaksanaan projek pemangkin serta menarik pelaburan berkualiti ke negeri-negeri di Pantai Timur.

 

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kepimpinan baharu ECERDC akan memberi fokus kepada pemudahcaraan pelaburan berkualiti, pelaksanaan projek strategik dan pengukuhan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta sektor swasta.

 

"Pelantikan ini dibuat pada fasa penting pelaksanaan agenda pembangunan ECER. Keutamaan kita ialah memastikan pelaburan dan projek yang dirancang diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat dan perusahaan tempatan.

 

"Pengalaman Syamsul Farizz dalam pelaburan, infrastruktur dan pengurusan projek berskala besar diyakini dapat memperkukuh keupayaan ECERDC untuk melaksanakan mandat ini dengan berkesan dan berorientasikan hasil," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Fokus pelaburan dan projek pemangkin

Sebagai CEO, Syamsul Farizz akan mengetuai usaha memudahcara pelaburan, menyelaras pelaksanaan projek pembangunan pemangkin serta program sosioekonomi di seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

 

Beliau mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam sektor hartanah, infrastruktur dan pelaburan, merangkumi bidang tadbir urus korporat, strategi komersial, pengurusan pelaburan serta pelaksanaan projek berskala besar.

 

Sebelum menyertai ECERDC, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Pelaburan Hartanah Berhad dan PROLINTAS, selain berkhidmat di Prasarana Malaysia Berhad, Bombardier Transportation serta Scomi Group Berhad.

 

Beliau turut mempunyai pengalaman penugasan antarabangsa di Arab Saudi dan India.

 

Syamsul Farizz merupakan Project Management Professional dan ahli Royal Institution of Chartered Surveyors. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Lancaster University, United Kingdom serta Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

Kementerian Ekonomi berkata, di bawah kepimpinan baharu itu, ECERDC akan terus memperkukuh peranannya sebagai agensi peneraju pembangunan wilayah dengan mempercepat pelaburan strategik, melaksanakan projek berimpak tinggi serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur. – DagangNews.com