KUALA LUMPUR 18 Julai – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) berkata, dana pencen sektor awam itu sedang mengambil semua langkah yang ada bagi mendapatkan semula dana pelaburan sebanyak RM163.4 juta dalam syarikat pemula akuakultur Indonesia yang terpalit skandal, eFishery.
KWAP mengeluarkan kenyataan pagi ini susulan kenyataan Perdana Menteri di Parlimen pada Khamis mengenai pelaburannya dalam eFishery, yang bekas ketua pegawai eksekutifnya disabitkan kesalahan awal tahun ini atas penipuan kewangan.
KWAP berkata, kes eFishery melibatkan "manipulasi kewangan secara sengaja dan salah nyata terhadap pelaporan kewangan syarikat itu."
Menurutnya, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah, telah dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Daerah Bandung pada 29 April lalu selepas disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
eFishery sebelum ini dianggap antara syarikat agritek terkemuka di Indonesia sebelum dakwaan penipuan perakaunan membongkar kepincangan di sebalik pertumbuhan pesat syarikat itu, sekali gus membawa kepada prosiding jenayah terhadap barisan kepimpinan terdahulunya.
ARTIKEL BERKAITAN: KWAP ditipu RM200 juta dalam skandal eFishery Indonesia, PM dedahkan di Parlimen
Hanya 2.51% pegangan saham
KWAP mendedahkan jumlah keseluruhan pelaburannya dalam eFishery ialah RM163.4 juta, mewakili kira-kira 2.51% pegangan saham syarikat tersebut.
Dana itu menegaskan bahawa ia hanyalah pemegang saham minoriti, manakala sebahagian besar saham eFishery dimiliki pelabur lain termasuk institusi pelaburan global utama yang turut terjejas akibat salah laku berkenaan.
Susulan penemuan ketidakaturan tersebut, KWAP berkata ia telah menjalankan siasatan dalaman serta menyemak semula proses pelaburan, mekanisme pemantauan selepas pelaburan dan maklumat yang tersedia sepanjang tempoh pelaburan tersebut.
KWAP berkata ia telah mengambil "tindakan susulan yang sewajarnya" selaras dengan rangka kerja tadbir urus dan akauntabiliti dalaman, selain terus meneroka "semua saluran yang tersedia" bagi memaksimumkan usaha mendapatkan semula pelaburannya.
Dana itu turut memaklumkan bahawa pendekatannya terhadap pelaburan dalam pasaran persendirian kini diperkukuh menerusi kepelbagaian portfolio yang lebih meluas, pelaburan bersama pengurus dana dan rakan strategik yang berpengalaman, peningkatan pemantauan selepas pelaburan serta pengawasan yang lebih rapi terhadap perkembangan penting melibatkan syarikat dalam portfolionya.
ARTIKEL BERKAITAN: PAC teliti keperluan siasat kerugian RM200 juta pelaburan KWAP dalam eFishery Indonesia
Portfolio kekal pelbagai
Bagi meyakinkan pencarum serta pesara, KWAP berkata portfolionya kekal dipelbagaikan merentasi pelbagai kelas aset, sektor dan geografi.
Berdasarkan keputusan tidak diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, KWAP merekodkan pendapatan kasar pelaburan sebanyak RM8.33 bilion serta menguruskan jumlah aset bernilai RM195.26 bilion, sekali gus menunjukkan bahawa pelaburan dalam eFishery hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan portfolionya. - DagangNews.com








