Pendapatan Frontken diunjurkan naik selepas ambil alih sebuah firma berpangkalan di Amerika Syarikat - Maybank IB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Frontken diunjurkan naik selepas ambil alih sebuah firma berpangkalan di Amerika Syarikat - Maybank IB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb — Frontken Corp Berhad diunjurkan mengalami pertumbuhan pendapatan selepas selesai pengambilalihan ke atas sebuah syarikat industri yang tidak dinamakan dan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.
 

Menurut nota kajian Maybank Investment Bank, perjanjian pengambilalihan itu dijangka dibiayai sepenuhnya secara dalaman berikutan baki tunai bersih syarikat yang sihat sebanyak RM367 juta pada akhir suku ketiga 2024 (3Q24).
 

"Dengan diandaikan bahawa pemerolehan tersebut selesai menjelang hujung suku pertama nanti untuk kira-kira AS$50 juta, kemungkinan pendapatan Frontken naik tujuh hingga 10 peratus pada tahun ini dan tahun depan," katanya.
 

Angka anggaran itu kira-kira 10 hingga 12 kali pendapatan harga dan sasaran pendapatan syarikat berkenaan untuk tahun lepas setelah digandakan dari tahun ini hingga 2026, sejurus proses pengambilalihan tersebut berakhir.
 

Maybank IB Research berkata, semasa taklimat analisis terakhir Frontken pada Oktober lalu, pengurusannya mendedahkan ia meneroka pemerolehan 100 peratus kepentingan dalam syarikat industri yang belum dinamakan di AS.
 

Pengambilalihan itu dijangka melibatkan kira-kira AS$40 juta hingga AS$50 juta (kira-kira RM177 juta hingga RM221 juta). Frontken merupakan penyedia terkenal dalam perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan semikonduktor.
 

Kebanyakan produknya untuk pasaran industri semikonduktor serta minyak dan gas di Taiwan, Singapura dan Malaysia. Dari segi risiko syarikat pula, firma penyelidikan tersebut berkata, buat masa ini, ia masih lagi agak terkawal.
 

“Walaupun kami tidak tolak risiko daripada iklim makro bergelora ekoran ancaman tarif AS, inflasi tinggi, permintaan agregat global lemah, namun kami percaya kekurangan kecil kemungkinan akan boleh dikurangkan," jelasnya.

 

Tambahan pula ujarnya, dengan prospek permintaan yang lebih lemah, berpotensi menjadi pemangkin penurunan harga bagi Frontken sambil ia terus mengekalkan panggilan 'beli' ke atas saham syarikat itu. - DagangNews.com