KUALA LUMPUR 15 Mei – Sentral REIT terus mencatat pemulihan secara beransur-ansur dalam prospek pendapatan, meskipun masih berdepan cabaran dalam segmen aset pejabat, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “Beli” ke atas Sentral REIT dengan harga sasaran baharu diturunkan kepada RM0.87 berbanding RM0.91 sebelum ini dengan potensi kenaikan sekitar 22.5 peratus.
RHB Research menjelaskan, semakan turun harga sasaran dibuat selepas mengambil kira andaian margin pendapatan bersih hartanah (NPI) yang lebih rendah yang menyebabkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 dipotong sekitar 4 hingga 5 peratus.
“Dalam masa sama, saham Sentral REIT masih dilihat menarik dengan hasil dividen sekitar 9 peratus, disokong penilaian semasa yang telah mengalami penyusutan sebanyak kira-kira 11 peratus sejak awal tahun,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Bagi keputusan suku pertama tahun kewangan 2026 (1Q26), prestasi Sentral REIT adalah dalam jangkaan pasaran, dengan keuntungan bersih teras meningkat kepada RM19.8 juta.
Peningkatan itu disokong oleh asas perbandingan yang rendah pada suku sebelumnya serta sumbangan daripada aset baharu dalam portfolio kumpulan.
Pendapatan suku tersebut meningkat 3.4 peratus kepada RM48.7 juta, disokong oleh aset Arcoris yang membantu mengimbangi kehilangan pendapatan daripada Sentral Building 2 (SB2) akibat tidak diperbaharui oleh penyewa.
Namun begitu, pendapatan bersih hartanah (NPI) kekal hampir mendatar pada RM36.2 juta, manakala margin NPI menyederhana kepada 74.3 peratus berbanding 76.7 peratus sebelum ini, mencerminkan perubahan campuran aset dan penyewa.
Dari segi operasi, kadar penghunian portfolio meningkat kepada 89 peratus berbanding 86 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh pelupusan aset kosong serta tiada pergerakan penyewa besar sepanjang suku berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan hartanah bersih Sentral REIT mencecah RM19.8 juta bagi 1QFY26 dipacu aset baharu
Gearing pula kekal stabil pada 45.3 peratus, menunjukkan tahap leveraj masih terkawal walaupun terdapat aktiviti pengambilalihan sebelum ini.
Dari sudut prospek, RHB Research menjangkakan Sentral REIT akan mencatat pertumbuhan pendapatan yang positif pada FY26, disokong oleh sumbangan penuh aset Arcoris, peningkatan penghunian di Menara Shell serta kenaikan sewa rendah satu digit.
“Namun begitu, SB2 masih menjadi faktor yang menekan kadar penghunian keseluruhan, walaupun kesannya dijangka ditampung oleh Arcoris yang menyumbang sekitar 4 peratus kepada pendapatan kumpulan.
“Kami menjangkakan usaha penggantian penyewa di SB2 hanya akan bermula dengan ketara pada suku ketiga 2026, selepas aktiviti pemasaran dan rundingan pajakan berjalan lebih aktif,” katanya.
Sebanyak 21 peratus pajakan Sentral REIT dijadualkan tamat pada tahun 2026, namun kira-kira 4 peratus daripadanya telah berjaya diperbaharui setakat Mac 2026.
Dalam pada itu, Sentral REIT turut mempunyai ruang tambahan untuk pertumbuhan melalui pengambilalihan, dengan kapasiti hutang sekitar RM120 juta berdasarkan tahap gearing semasa.
Dari segi ESG, Sentral REIT mencatat skor keseluruhan 3.0 daripada 4, dengan penarafan alam sekitar pada tahap baik hasil penambahbaikan kecekapan tenaga, penggunaan LED serta inisiatif solar di beberapa bangunan.
Aspek sosial pula dinilai baik dengan program pembangunan pekerja, latihan berterusan serta penekanan terhadap keselamatan dan kesejahteraan pekerja.
RHB Research mengekalkan pandangan positif terhadap Sentral REIT dengan keyakinan bahawa pemulihan akan berlaku secara berperingkat disokong strategi kepelbagaian aset dan hasil dividen yang menarik. - DagangNews.com








