SC pantau ketat syarikat amanah berunsur pelaburan, wajib berlesen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC pantau ketat syarikat amanah berunsur pelaburan, wajib berlesen

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 5 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengambil langkah memperketat kawal selia syarikat amanah yang beroperasi seperti produk pelaburan dalam pasaran modal dengan mewajibkan syarikat terbabit mendapatkan lesen bagi menjalankan aktiviti berkenaan.

 

Pengawal selia pasaran modal itu membezakan antara perniagaan amanah konvensional yang tertumpu kepada pentadbiran harta pusaka dan amanah persendirian bagi tujuan perancangan pewarisan atau legasi, dengan struktur amanah yang pada hakikatnya berfungsi sebagai produk pelaburan menerusi Nota Amalan baharu yang diterbitkan pada 22 Mei lalu dan berkuat kuasa pada tarikh sama.

 

Menurut garis panduan tersebut, syarikat amanah masih boleh menyediakan perkhidmatan berkaitan pelaburan tanpa memegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSL) sekiranya aktiviti berkenaan hanya bersifat sampingan kepada perniagaan amanah konvensional.

 

Bagaimanapun, sekiranya penglibatan mereka dalam produk pasaran modal tidak lagi dianggap sebagai aktiviti sampingan kepada perniagaan amanah konvensional, mereka diwajibkan mendapatkan lesen daripada SC.

 

Bagi menjelaskan perbezaan itu, SC menyatakan syarikat amanah yang menguruskan amanah pendidikan keluarga atau amanah harta pusaka masih dibenarkan menjalankan aktiviti terkawal seperti perancangan kewangan, nasihat pelaburan dan pengurusan dana tanpa lesen, selagi ia bertujuan mengekalkan nilai amanah tersebut.

 

Sebaliknya, syarikat amanah yang menawarkan pulangan tahunan yang diunjurkan daripada pelaburan untuk manfaat benefisiari individu dan kebanyakannya melabur dalam produk pasaran modal perlu mendapatkan lesen SC sebagai pemegang CMSL.

 

Namun, SC menjelaskan sekiranya syarikat amanah berorientasikan pelaburan itu hanya melabur dalam produk yang bukan berkaitan pasaran modal seperti deposit tetap, hartanah, insurans berkaitan pelaburan dan emas, ia tidak tertakluk kepada undang-undang sekuriti dan berada di luar bidang kuasa SC.

 

Runding dengan Suruhanjaya Sekuriti

“Sehubungan itu, semua syarikat amanah digalakkan berunding dengan SC bagi menentukan sama ada perniagaan amanah mereka memerlukan lesen daripada SC,” kata suruhanjaya itu.

 

Perubahan itu dibuat di bawah Perenggan 1 Jadual 3 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan yang memberi kuasa kepada SC untuk menentukan "orang yang ditetapkan" yang dikecualikan daripada keperluan mendapatkan lesen atau pendaftaran dengan SC.

 

Sejak 1 Januari lalu, SC diberikan kuasa lebih luas untuk menentukan syarikat amanah dan aktiviti amanah yang boleh beroperasi tanpa memerlukan lesen pasaran modal susulan pindaan kepada Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

 

Sebelum ini, skim amanah tunai dikendalikan oleh syarikat amanah yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 dan turut tertakluk kepada Akta Pemegang Amanah 1949.

 

Langkah SC itu dibuat ketika kerajaan merancang untuk memperkukuh kawal selia terhadap syarikat amanah di Malaysia.

 

Akta Syarikat Amanah Baharu

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata pada Februari lalu bahawa kerajaan bercadang membentangkan Rang Undang-Undang Syarikat Amanah baharu tahun ini yang berteraskan empat komponen utama kawal selia.

 

Pertama, ia akan mentakrifkan aktiviti yang dibenarkan untuk dijalankan oleh syarikat amanah serta mewajibkan pendaftaran rasmi.

 

Kedua, ia memperkenalkan keperluan pendedahan pemilik sebenar di sebalik perniagaan amanah. Ketiga, ia memperkukuh aspek tadbir urus dan keperluan pentadbiran syarikat amanah.

 

Akhir sekali, ia menetapkan prosedur bagi penutupan, penggulungan atau pembubaran syarikat amanah. — DagangNews.com