KUALA LUMPUR 5 Jun - Sektor perladangan Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh terdekat, disokong oleh harga minyak sawit mentah yang kukuh berikutan harga minyak mentah global yang tinggi, menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).
HLIB berkata, walaupun tekanan kos akibat ketegangan di Timur Tengah semakin meningkat, sentimen pendapatan jangka pendek masih disokong oleh harga minyak sawit mentah yang stabil serta unjuran pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang berdaya tahan.
“Bagaimanapun, kami memberi amaran bahawa kitaran kenaikan semasa berkemungkinan bersifat ‘front-loaded’, dengan risiko jangka sederhana berpunca daripada pelarasan bekalan minyak sayuran pesaing,” katanya dalam nota penyelidikan.
Sektor perladangan mencatat prestasi pendapatan suku tahunan yang bercampur-campur, dengan empat daripada tujuh syarikat di bawah liputan HLIB merekodkan keputusan yang menepati jangkaan.
HLIB berkata tiga syarikat perladangan termasuk Genting Plantations Bhd (GENP), Johor Plantations Group Bhd (JPG) dan TSH Resources Bhd mencatatkan pendapatan di bawah unjuran dalam musim keputusan kewangan suku tahunan yang baru sahaja berakhir.
“Bagi GENP dan TSH Resources, pengeluaran FFB yang lebih rendah daripada jangkaan menjadi faktor utama kelemahan keputusan tersebut,” katanya.
Unjuran Harga
Firma penyelidikan itu mengekalkan andaian harga purata minyak sawit mentah 2026 pada RM4,350 setiap tan metrik (mt) serta mengulangi saranan “overweight” terhadap sektor perladangan.
“Kami menjangkakan harga akan kekal tinggi pada RM4,500 hingga RM4,600 per mt pada suku kedua 2026 sebelum menurun mulai suku ketiga 2026.
"Andaian harga minyak sawit mentah jangka panjang kami kekal tidak berubah pada RM4,200 per mt mulai 2027,” katanya. - DagangNews.com







