Pendapatan hartanah bersih Sentral REIT mencecah RM19.8 juta bagi 1QFY26 dipacu aset baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan hartanah bersih Sentral REIT mencecah RM19.8 juta bagi 1QFY26 dipacu aset baharu

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 Mei – Sentral REIT mencatat pertumbuhan prestasi yang lebih baik bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), disokong strategi pengukuhan portfolio dan sumbangan aset baharu.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia mencatatkan pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM19.8 juta bagi tempoh berakhir 31 Mac 2026, naik 1.1% berbanding RM19.6 juta pada setahun lalu.


Sentimen mencabar dalam pasaran hartanah komersial dan lambakan ruang pejabat turut tidak dapat menghalangnya meraih hasil direalisasi RM48.7 juta, naik 3.4% berbanding RM47.1 juta sebelumnya.


"Perkembangan ini didorong sumbangan daripada aset yang baru diperoleh iaitu Arcoris Mont’ Kiara selain prestasi lebih baik menerusi hartanah sedia ada dalam portfolionya," tambah Sentral REIT.


Maklum kumpulan amanah pelaburan hartanah (REIT) itu kepada Bursa Malaysia, pendapatan sesaham (EPU) dan hasil boleh agih sesaham masing-masing bertambah kepada 1.66 sen daripada 1.64 sen.


Pada masa sama, ia terus memperkukuh kedudukan kewangannya apabila kadar leveraj agregat susut kepada 45.3% berbanding 45.6% pada suku sebelumnya, manakala purata kos pembiayaan menurun.


Ujar Sentral REIT, ia merosot kepada 4.22% daripada 4.29%, manakala kadar perlindungan faedah kekal sihat 2.58 kali dengan profil kematangan hutang disusun baik bagi empat tahun akan datang.


"Kadar penghunian portfolio pula naik kepada 89% berbanding 86% pada 4QFY25 dan 84% dalam tempoh sama tahun lalu, mencerminkan pemulihan permintaan ke atas aset komersial strategik," katanya.


Pengerusi Sentral REIT Management Sdn Bhd, Tan Sri Saw Choo Boon berkata, tempoh purata tamat pajakan wajaran (WALE) juga bertambah kepada 4.80 tahun daripada 4.33 tahun sebelum ini.


Prestasi tersebut membuktikan keupayaan kumpulan berkenaan mengharungi turun naik ekonomi menerusi pengurusan aset yang berdisiplin, strategi penyewaan proaktif dan pengurusan kewangan berhemat.


“Kami akan terus memberi tumpuan kepada pengoptimuman campuran penyewa, inisiatif penambahbaikan aset dan kepelbagaian portfolio bagi memastikan penjanaan pertumbuhan jangka panjang,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sentral REIT Management, Tay Hui Ling berkata, pihaknya masih lagi kekal berhati-hati terhadap prospek pasaran pejabat dalam tempoh yang terdekat.


Langkah berkenaan ujar beliau, susulan persaingan yang semakin sengit dan pertambahan bekalan ruang pejabat di pasaran hartanah tempatan sehingga mengakibatkan berlaku situasi lambakan.


Bagaimanapun katanya, permintaan masih wujud terutama bagi hartanah yang mempunyai lokasi baik dan strategik, akses pengangkutan awam mudah serta kemudahan lengkap untuk pengunjung serta penyewa.


“Melangkah ke hadapan, kami akan memanfaatkan kestabilan aset teras dan kedudukan kewangan sihat untuk meneroka peluang menyusun semula portfolio menerusi kepelbagaian kelas aset," tambahnya.


Strategi ini jelas beliau, dijangka mengukuhkan keupayaan Sentral REIT dalam menjana pulangan mampan secara jangka panjang kepada pemegang unit amanah pelaburan tersebut. - DagangNews.com