KUALA LUMPUR 27 Julai - Malakoff Corporation Bhd berada di landasan untuk memulihkan sepenuhnya operasi Kompleks Tanjung Bin, dengan rotor turbin di Tanjung Bin Power (TBP) dijadualkan kembali beroperasi pada Ogos ini, sekali gus dijangka menyokong pemulihan prestasi kewangan kumpulan mulai suku keempat 2026 (4Q26).
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham Malakoff dengan harga sasaran (TP) RM1.06 sesaham, yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 35% daripada harga semasa, selain jangkaan hasil dividen kira-kira 5% bagi FY26.
Firma itu berkata, hasil pertemuan bersama pengurusan kanan Malakoff mendapati kerja pembaikan rotor turbin yang mengalami kerosakan pada November tahun lalu telah disiapkan dan kini berada di landasan untuk kembali beroperasi pada Ogos.
"Pemulihan operasi rotor itu dijangka membolehkan TBP kembali menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada 4Q26," katanya dalam nota penyelidikan.
Selain itu, operasi tali sawat penghantar arang batu di Jeti Tanjung Bin juga telah disambung semula bulan lalu selepas kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan selesai sepenuhnya.
Firma penyelidikan itu turut melihat potensi tuntutan insurans yang boleh memberi nilai tambah kepada prestasi kumpulan susulan gangguan operasi di Tanjung Bin, walaupun ia telah mengambil kira tambahan kos pemindahan arang batu (transhipment) sebanyak RM40 juta dalam unjuran FY26.
Loji gas baharu bakal gantikan Tanjung Bin
Dalam perkembangan lain, Malakoff menyasarkan untuk memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) bagi loji janakuasa gas baharu berkapasiti 1.4GW di Port Dickson pada separuh pertama 2027, dengan operasi komersial dijangka bermula pada 2031.
Kumpulan itu turut merancang membangunkan sebuah lagi loji gas berkapasiti 1.4GW di Segari yang disasarkan memulakan operasi pada 2032. Kedua-dua loji berkenaan dijangka menggantikan peranan Tanjung Bin Power apabila PPA loji arang batu itu tamat pada September 2031.
Bagi menyokong pelan tersebut, Malakoff telah menempah empat turbin gas berkapasiti 700MW daripada Mitsubishi yang berpotensi digunakan bagi kedua-dua projek berkenaan.
Firma penyelidikan itu menganggarkan harga sasaran saham Malakoff berpotensi meningkat 39% sekiranya syarikat berjaya memperoleh kontrak membangunkan loji 1.4GW tersebut.
Unjuran pendapatan disemak turun, TP kekal
Bagaimanapun, RHB Research menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) Malakoff bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 14%, 8% dan 9% bagi mengambil kira tambahan kos pemindahan arang batu serta tempoh henti operasi rotor TBP selama sembilan bulan.
Walaupun begitu, harga sasaran dikekalkan pada RM1.06 sesaham selepas tahun asas penilaian dialihkan kepada FY27 yang dijangka mencerminkan pemulihan penuh operasi Kompleks Tanjung Bin.
Harga sasaran itu ditetapkan berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 24 kali FY27, termasuk diskaun 12% bagi faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Malakoff dijadual mengumumkan keputusan kewangan bagi 2Q26 pada 17 Ogos, dengan firma penyelidikan menjangkakan prestasi pendapatan bertambah baik berbanding suku sebelumnya hasil peningkatan sumbangan daripada Tanjung Bin Energy (TBE) selepas operasi disambung semula pada Januari lalu. - DagangNews.com








