KUALA LUMPUR 27 Julai – Golongan pelabur berpendapatan tinggi di Malaysia kini semakin agresif menyusun semula portfolio pelaburan bagi melindungi kekayaan mereka daripada isu tekanan inflasi.
Menurut tinjauan dilaksanakan bank antarabangsa HSBC menerusi Affluent Investor Snapshot, kelompok berkenaan turut mengubah strategi dengan membina simpanan jangka panjang untuk tujuan persaraan.
Ia mendapati pelabur berkenaan mula mengamalkan pendekatan 'kalis masa depan' dengan keutamaan strategi pengukuhan daya tahan kewangan jangka panjang, berbanding hanya pertumbuhan kekayaan.
"Selain aset ditingkatkan, pelabur itu memberi tumpuan kepada usaha melindungi kekayaan, serta memastikan kedudukan kewangan kukuh menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan kos sara hidup," katanya.
Justeru, pelabur di Malaysia dilihat mengamalkan pendekatan dinamik dalam pengagihan aset dengan menyeimbangkan semula portfolio mengikut objektif pelaburan dan keperluan kewangan masing-masing.
Tinjauan bank tersebut melibatkan hampir responden dalam kalangan pelabur berpendapatan tinggi menunjukkan mereka agresif mengurangkan pegangan tunai berbanding rakan setara di peringkat global.

Situasi itu terbukti dengan 16% daripada responden bercadang mengurangkan pegangan tunai dalam tempoh 12 bulan yang akan datang, lebih tinggi daripada purata global iaitu hanya sebanyak 12%.
"Dapatan itu selaras dengan corak pelaburan pelanggan Premier dan Premier Elite bank ini sendiri," jelas Ketua Perbankan Kekayaan Antarabangsa dan Premier HSBC Malaysia, Linda Yip dalam kenyataan.
Kelompok itu kini memberi penekanan kepada pembinaan kekayaan serta pengimbangan semula portfolio, dengan semakin sedar terhadap kesan inflasi dan kepentingan simpanan mencukupi untuk persaraan.
Ujar beliau, berdasarkan tinjauan itu, tiga produk kewangan paling banyak dimiliki oleh pelabur mewah di Malaysia ialah insurans dengan pegangan sebanyak 48%, diikuti saham (44%) dan emas (43%).
Linda berkata, walaupun produk tradisional seperti insurans dan saham masih menjadi asas portfolio, pelabur cenderung menambah instrumen alternatif selain mengekalkan pegangan emas dan deposit tetap.
"Perkembangan itu mencerminkan pendekatan pelaburan semakin matang apabila pemilihan produk dibuat lebih terancang berdasarkan matlamat kewangan dan bukan semata-mata mengejar pulangan," kataya.
Affluent Investor Snapshot itu melibatkan hampir 10,000 responden di 10 negara termasuk Malaysia, yang memberi gambaran perlindungan kekayaan menjadi keutamaan utama pelabur tempatan. - DagangNews.com








