Menara telekomunikasi SMART di Sarawak terpaksa dibina tembok dengan kos tambahan RM100,000 elak vandalisme | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Menara telekomunikasi SMART di Sarawak terpaksa dibina tembok dengan kos tambahan RM100,000 elak vandalisme

Menara telekomunikasi SMART Sunyai Rayah Sarikei dibina tembok keselamatan bagi mengelak vandalisme. - Gambar/ Facebook Julaihi Narawi
Oleh HAMDEN RAMLI

KUCHING 27 Julai - Kejadian vandalisme berulang terhadap menara telekomunikasi milik Sarawak Multimedia Authority Rural Transformation (SMART) memaksa pihak berkuasa membina tembok keselamatan dilengkapi kawat berduri membabitkan kos tambahan melebihi RM100,000 bagi setiap lokasi.

 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkata langkah membina tembok keselamatan itu terpaksa diambil bagi menghalang pencerobohan dan kecurian yang boleh menjejaskan operasi menara telekomunikasi.

 

Beliau berkata, kos tambahan tersebut memberi tekanan kewangan memandangkan pembinaan sebuah menara telekomunikasi SMART sendiri memerlukan pelaburan kira-kira RM2.5 juta.

 

"Apabila kita terpaksa membelanjakan lebih RM100,000 lagi untuk membina tembok di sekeliling tapak, ia menjadi satu kos yang besar, seperti yang dilakukan di Sungai Rayah, Sarikei, selepas kejadian pencerobohan dan kecurian berlaku buat kali kelima.

 

"Keadaan ini amat mendukacitakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kelas induk Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Bersepadu pada Isnin.

 

Menurut Julaihi, selain Sungai Rayah, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) turut membina tembok yang sama di empat lagi lokasi menara SMART sebagai langkah meningkatkan keselamatan aset telekomunikasi berkenaan.

 

Katanya, masalah vandalisme boleh berlaku di mana-mana kawasan sama ada bandar atau luar bandar, justeru kesedaran awam perlu dipertingkatkan bagi melengkapi tindakan penguatkuasaan.

 

Julaihi berkata, aktiviti vandalisme terhadap infrastruktur telekomunikasi mengakibatkan kerugian hampir RM9 juta di Sarawak sepanjang tahun lalu, apabila sebanyak 726 kes direkodkan di seluruh negeri.

 

Katanya, di Bahagian Sarikei, sebanyak 28 kes dilaporkan dengan kerugian melebihi RM314,000. - DagangNews.com