Sarawak tubuhkan Agensi Aeroangkasa, CEO dijangka dilantik sebelum hujung tahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sarawak tubuhkan Agensi Aeroangkasa, CEO dijangka dilantik sebelum hujung tahun

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 27 Julai – Sarawak menubuhkan Agensi Aeroangkasa Sarawak dan dijangka melantik ketua pegawai eksekutif (CEO) pertamanya sebelum penghujung tahun ini, sekali gus menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha negeri itu membangunkan sektor aeroangkasa dan satelit.

 

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, agensi yang diletakkan di bawah kementeriannya itu telah pun menubuhkan Lembaga Pengarah dan kini sedang meneliti permohonan bagi jawatan CEO.

 

Beliau berkata, Sarawak turut menubuhkan Majlis Penasihat Angkasa Sarawak yang dipengerusikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

"Kami telah menubuhkan Agensi Aeroangkasa Sarawak di bawah kementerian ini.

 

"Ini merupakan permulaan. Lembaga Pengarah telah dibentuk dan kami sedang mencari CEO. Malah, kami telah menerima sejumlah besar permohonan dan dijangka dapat melantik seorang CEO sebelum penghujung tahun ini," katanya.


 

solar

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Converged Telecommunications Policy and Regulations (CTPR) Masterclass 2026 di Kuching hari ini.

 

Langkah itu mencerminkan strategi lebih luas Sarawak untuk meluaskan pembangunan teknologi negeri daripada sekadar aspek kesalinghubungan digital kepada sektor aeroangkasa dan teknologi satelit sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital jangka panjang.

 

Agensi terajui pembangunan sektor aeroangkasa

Menurut Julaihi, Agensi Aeroangkasa Sarawak dengan sokongan Majlis Penasihat Angkasa Sarawak akan menyediakan hala tuju strategik, menyelaras kepakaran institusi serta membimbing pembangunan sektor berkenaan secara bertanggungjawab.

 

Katanya, negeri itu merancang meneroka peluang dalam bidang komunikasi satelit, pemerhatian bumi, penderiaan jauh dan aplikasi geospatial yang mampu meningkatkan daya tahan rangkaian komunikasi, pengurusan bencana, pemantauan alam sekitar, pertanian, perancangan guna tanah serta penyampaian perkhidmatan awam di seluruh Sarawak.

 

"Hasrat kami berasaskan keperluan pembangunan yang jelas serta demi kepentingan jangka panjang Sarawak dan rakyatnya," katanya.

 

Julaihi turut menyifatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama fasa pembangunan seterusnya di Sarawak, sambil menggambarkannya sebagai "sistem operasi ekonomi moden" yang akan mengubah produktiviti, industri dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

 

Beliau berkata, liputan internet di kawasan penempatan di Sarawak kini telah mencapai 94.5% hasil kerjasama kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan industri telekomunikasi menerusi pelaksanaan program SALURAN yang melibatkan pembinaan 600 menara SMART serta pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar MySRBN.

 

Dengan infrastruktur kesalinghubungan yang sebahagian besarnya telah tersedia, katanya, tumpuan kini beralih kepada usaha meningkatkan kualiti, kebolehpercayaan dan kemampuan kos perkhidmatan digital di samping memanfaatkan AI, teknologi satelit serta inovasi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

 

Beliau turut menggesa syarikat teknologi, penyedia infrastruktur, universiti dan institusi penyelidikan bekerjasama dengan Sarawak dalam membangunkan penyelesaian AI, memperluaskan infrastruktur digital, memajukan komunikasi satelit, memperkukuh keselamatan siber serta menyokong pembangunan bandar pintar. - DagangNews.com