KUALA LUMPUR 27 Julai – Petra Energy Berhad mencipta pencapaian penting dalam industri minyak dan gas (O&G) negara ini dengan berjaya mencapai pengeluaran minyak daratan yang pertama di Sarawak.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia melibatan projek Blok SK433, dekat Marudi, Miri menandakan kembalinya pengeluaran minyak di darat negeri itu selepas lebih lima dekad.
Kejayaan itu diraih anak syarikatnya, Petra Energy Development Sdn Bhd, yang berjaya mengoperasikan telaga minyak Adong Kechil West (AKW) dan mencapai pengeluaran minyak pertama pada 18 Julai 2026.
"Ini merupakan satu mercu tanda penting dalam pembangunan Blok SK433 yang melibatkan aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran petroleum di kawasan daratan Sarawak," kata Petra Energy.
Kadar pengeluaran minyak dari telaga AKW dijangka terus dipertingkatkan secara berperingkat apabila kemudahan operasi mencapai tahap kestabilan sepenuhnya dan prestasi operasi terus diperkemas.
Blok itu merupakan kontrak petroleum daratan yang dianugerahkan kepada Petroleum Sarawak Berhad (Petros) pada 2021, sebelum kerja-kerja penggerudian dimulakan di kawasan Miri pada Oktober 2023.
Medan AKW menjadi lokasi utama pembangunan blok berkenaan yang akhirnya berjaya menghasilkan minyak pertama, sekali gus menghidupkan semula pengeluaran minyak daratan Sarawak selepas lebih 50 tahun.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini pernah memaklumkan medan AKW memiliki kapasiti pengeluaran awal sekitar 800 tong minyak sehari atau kira-kira 24,000 tong sebulan.
Perkembangan tersebut sekali gus membuktikan keupayaan Sarawak dalam bidang kejuruteraan serta pengurusan industri O&G, dengan pengeluaran itu menjadi pemangkin pembangunan industri hiliran.
"Antaranya termasuk pengeluaran bahan kimia ammonia dan hidrogen berwarna biru yang dikenal pasti sebagai sektor strategik kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak sendiri," jelas pemimpin berkenaan.
Menurutnya, pendekatan baharu kerajaan negeri adalah memastikan sumber asli diberikan nilai tambah bagi mewujudkan banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dan pembangunan teknologi.
Bagi Petra Energy, kejayaan pengeluaran minyak pertama di Block SK433 bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan strategik dalam pembangunan sumber petroleum daratan Sarawak.
Malahan perkembangan tersebut membuka ruang kepada peningkatan prestasi operasi apabila pengeluaran terus dioptimumkan pada masa hadapan selaras dengan agenda negeri. - DagangNews.com








