KUALA LUMPUR 27 Julai - Malaysia hanya perlu membelanjakan kira-kira RM16 juta bagi menyediakan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk penganjuran semula perlumbaan Formula Satu (F1) susulan persetujuan Bahrain menanggung bayaran pendahuluan kepada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Bahrain memindahkan perlumbaan Grand Prix negara itu ke Malaysia dibuat berikutan kebimbangan terhadap situasi keselamatan di rantau berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu membolehkan Malaysia mengelakkan pembayaran pendahuluan yang sebelum ini telah dijelaskan Bahrain kepada Formula Satu, sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan secara ketara.
“Semalam mereka telefon dan memaklumkan bayaran awal yang telah dibayar kepada F1 dihapuskan. Jadi kita boleh menganjurkannya tanpa membayar kos pendaftaran kepada syarikat itu. Kita hanya perlu membaiki sedikit trek di Sepang,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajudin, di Tampin hari ini.
Anwar berkata, jumlah tersebut amat kecil berbanding manfaat yang bakal diperoleh negara apabila Malaysia menjadi perhatian dunia menerusi kehadiran pelumba terbaik, jentera F1 paling canggih serta ribuan jurutera dan pegawai pasukan ke Sepang.
“Orang lain menganjurkan perlumbaan ini dengan kos ratusan juta malah ada yang mencecah lebih RM1 bilion. Kita pula hanya membelanjakan sekitar RM16 juta untuk menjadi tumpuan dunia,” katanya.
Beliau menjelaskan, kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil reputasi negara yang aman, cekap dan mempunyai infrastruktur bertaraf antarabangsa
Katanya, Malaysia hanya perlu melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan kecil di Litar Antarabangsa Sepang dengan anggaran kos sekitar RM16 juta bagi memastikan litar itu memenuhi spesifikasi yang diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan F1.
Perkembangan itu dilihat membuka semula peluang kepada Malaysia untuk kembali menjadi tuan rumah Formula Satu selepas kali terakhir menganjurkan perlumbaan berprestij itu pada 2017.
Selain mengembalikan salah satu acara sukan permotoran paling berprestij di dunia, penganjuran semula Formula Satu dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negara menerusi peningkatan ketibaan pelancong, aktiviti perhotelan, sektor makanan dan minuman, pengangkutan serta industri berkaitan pelancongan dan acara antarabangsa.
Dengan kos penyediaan yang jauh lebih rendah berbanding komitmen kewangan yang lazim diperlukan untuk menganjurkan perlumbaan Formula Satu, langkah itu berpotensi menawarkan pulangan ekonomi yang lebih menarik sekiranya penganjuran tersebut direalisasikan. - DagangNews.com








