Pemegang saham Talam Transform tolak semua 14 usul singkirkan Lembaga Pengarah pada EGM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Talam Transform tolak semua 14 usul singkirkan Lembaga Pengarah pada EGM

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Julai — Majoriti pemegang saham Talam Transform Berhad menolak kesemua 14 usul yang dikemukakan bagi menyingkirkan ahli-ahli Lembaga Pengarah syarikat berkenaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, mereka turut menentang pelantikan barisan pengarah baharu dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung hari ini.

 

Keputusan itu menyaksikan usaha rombakan menyeluruh terhadap kepimpinan syarikat tidak mendapat sokongan apabila setiap usul memperoleh 67.5% undi menolak berbanding 32.5% undi menyokong.

 

"Sehubungan itu, semua resolusi yang dibentangkan pada EGM diadakan di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Kuala Lumpur, ditolak pemegang saham melalui proses pengundian," menurut Talam Transform.

 

Ini termasuk cadangan penyingkiran tujuh anggota pengarah, iaitu Ngiam Kee Tong, Datuk Abdul Hamid Mustapha, Puan Sri Thong Nyok Choo, Chua Kim Lan, Chan Tet Eu, Tai Keat Chai dan Ling Chee Min.

 

Turut gagal mendapat sokongan majoriti pemegang saham kumpulan itu ialah usul untuk menyingkirkan pengarah gantian, Chan Siu Ching Candice, daripada jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

 

Usul Lantik Pengarah Gantian Turut Ditolak

Selain itu, mereka menolak cadangan agar individu dilantik sebagai pengarah mengisi kekosongan dalam tempoh antara notis EGM sehingga mesyuarat tersebut disingkirkan daripada Lembaga Pengarah.

 

"Pada masa sama, lima usul bagi melantik pengarah baharu juga tidak mendapat kelulusan pemegang saham, sekali gus mengekalkan komposisi semasa Lembaga Pengarah yang sedia ada," tambahnya.

 

Calon-calon yang dicadangkan bagi menyertai Lembaga Pengarah Talam Transform tetapi gagal dilantik ialah Lim Gin Gee, Chen Cheong Fat, Chee Seong Heng, Lee Bang Haur dan William Ang Wei Liang.

 

Menurutnya, keputusan pengundian disahkan firma Sharepoll Sdn Bhd yang bertindak sebagai pemeriksa undi, selain disahkan Aldpro Corporate Services Sdn Bhd, wakil dilantik oleh Lembaga Pengarah.

 

Permintaan untuk mengadakan EGM itu dikemukakan Ang Lam Poah menerusi M&A Nominee (Tempatan) Sdn Bhd bersama Loo Leong Fatt dan Loo Foong Luan yang mendakwa memiliki 10% modal saham.

 

Berikutan kesemua usul ditolak, Lembaga Pengarah sedia ada kekal tanpa sebarang perubahan, sekali gus menandakan pemegang saham memilih struktur tadbir urus semasa. - DagangNews.com