KUALA LUMPUR 10 Julai – Advancecon Holdings Berhad menerima kontrak sub-kerja bernilai RM121.66 juta bagi melaksanakan kerja tanah dan kerja berkaitan kejuruteraan awam untuk projek takungan air di luar sungai (ORS) bagi menyokong bekalan air kepada sebuah pusat data di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Advancecon berkata anak syarikat milik penuhnya, Advancecon Infra Sdn Bhd (AISB) telah menerima Surat Anugerah (LOA) daripada sebuah syarikat kontraktor yang dilantik bagi projek berkenaan pada 10 Julai 2026.
Menerusi surat anugerah itu, AISB dilantik sebagai sub-kontraktor untuk menjalankan kerja pembinaan dan menyiapkan kerja tanah serta kerja berkaitan bagi pembangunan ORS di bawah cadangan Skim Pembangunan Bekalan Air dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 65 juta liter sehari.
Projek berkenaan terletak di Lot 21248, Mukim Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan dan dibangunkan bagi menyokong keperluan bekalan air untuk sebuah pusat data.
Advancecon berkata, AISB yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan kerja tanah, kejuruteraan awam serta jualan bahan binaan, akan melaksanakan projek itu berdasarkan kepakaran dan pengalaman sedia ada dalam sektor pembinaan.
Menurut syarikat itu, pelanggan yang memberikan kontrak berkenaan merupakan sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri pembinaan serta pernah terlibat dalam pelbagai projek infrastruktur utama di Malaysia.
Antara projek yang pernah dilaksanakan oleh pelanggan tersebut termasuk PKNS Cyber Valley, kontrak saluran paip air mentah di Loji Rawatan Air Rasau (Rasau RWTP) serta kerja penyiapan bagi projek MRT Laluan 2 di Cyberjaya.
Advancecon menjangkakan kontrak baharu itu akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek, selain mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam sektor pembinaan dan kerja kejuruteraan awam.
Syarikat itu turut memaklumkan kontrak tersebut tidak memberi kesan kepada modal saham serta pegangan saham pemegang saham utama Advancecon.
Pembiayaan projek akan dibuat menerusi dana dalaman yang dijana kumpulan dan/atau pinjaman luar, manakala tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com








