KUALA LUMPUR 10 Julai – CelcomDigi Bhd melantik dua tokoh berpengalaman dalam bidang korporat, pelaburan dan transformasi digital iaitu bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Bhd, Datuk Yee Yang Chien serta Ketua Pendigitalan Khazanah Nasional Bhd, Dr Farid Mohamed Sani untuk memperkukuh barisan lembaga pengarahnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CelcomDigi berkata Yee dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif manakala Farid dilantik sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif.
Kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa pada 10 Julai 2026 yang membawa pengalaman strategik baharu ke dalam lembaga pengarah syarikat telekomunikasi berkenaan.
Pelantikan Farid menyusuli peletakan jawatan Vivek Sood sebagai pengarah bukan bebas bukan eksekutif CelcomDigi selepas beliau bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata Group Bhd (Axiata) pada 1 Jun 2026.
Vivek menerajui Axiata selama lebih tiga tahun selepas dilantik mengetuai kumpulan telekomunikasi itu pada Mac 2023 sebelum digantikan oleh Nik Rizal Kamil Nik Ibrahim Kamil.
Yee, 58, mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat selepas hampir dua dekad bersama MISC. Beliau bersara sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC pada September 2022 selepas hampir lapan tahun menerajui syarikat berkenaan.

Sebelum menyertai MISC, Yee memulakan kerjaya dalam bidang audit luaran dan dalaman sebelum beralih kepada penyelidikan ekuiti serta perbankan pelaburan. Sepanjang tempoh kepimpinannya di MISC, beliau menerajui pelbagai inisiatif strategik termasuk penggabungan dan pengambilalihan, pelaburan serta pelupusan strategik, penerbitan bon korporat, penyenaraian awam dan pembangunan syarikat pemula teknologi serta digital.
Selain pelantikan baharu di CelcomDigi, Yee turut merupakan pengarah bukan bebas bukan eksekutif Maybank.
Sementara itu, Farid, 50, kini mengetuai bahagian pendigitalan di Khazanah Nasional selepas kembali menyertai dana pelaburan strategik negara itu pada Disember 2018. Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Strategi UEM Group Bhd serta mempunyai pengalaman bersama Khazanah dari 2004 hingga 2011 dan Telekom Malaysia Bhd dari 2012 hingga 2017.
Farid yang juga pengarah bukan bebas bukan eksekutif Axiata akan menjadi wakil Axiata dalam lembaga CelcomDigi, susulan pegangan sebanyak 33.1% yang dimiliki kumpulan telekomunikasi itu dalam CelcomDigi.
Bagaimanapun, Farid akan berkecuali daripada perbincangan dan pengundian berkaitan sebarang urus niaga antara Axiata dan CelcomDigi bagi memastikan proses tadbir urus korporat dilaksanakan dengan baik.
Pelantikan dua tokoh berpengalaman itu dilihat mengukuhkan lagi keupayaan lembaga pengarah CelcomDigi dalam menghadapi perubahan landskap industri telekomunikasi yang semakin dipacu oleh transformasi digital, inovasi teknologi dan keperluan strategi perniagaan jangka panjang. - DagangNews.com








