Stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.54 juta tan pada Jun - MPOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.54 juta tan pada Jun - MPOB

KUALA LUMPUR 10 Julai - Stok minyak sawit Malaysia meningkat 4.78%, atau 116,123 tan, kepada 2.54 juta tan pada Jun 2026 berbanding 2.43 juta tan pada bulan sebelumnya, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

MPOB berkata, stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat 3.75%, atau 48,153 tan, kepada 1.33 juta tan pada Jun 2026 berbanding 1.28 juta tan pada Mei 2026.

 

"Stok minyak sawit diproses pula melonjak 5.94% kepada 1.21 juta tan daripada 1.14 juta tan," katanya dalam laporan prestasi industri bagi Jun.

 

Dari segi pengeluaran, MPOB berkata, pengeluaran MSM meningkat 8.08%, atau 122,450 tan, kepada 1.64 juta tan berbanding 1.52 juta tan pada bulan sebelumnya.

 

Pengeluaran isirung sawit turut meningkat 8.16% bulan ke bulan kepada 381,480 tan daripada 352,697 tan.

 

Bagaimanapun, pengeluaran minyak isirung sawit mentah susut 0.46% kepada 174,071 tan berbanding 174,871 tan pada Mei, manakala pengeluaran hampas isirung sawit meningkat 1.12% kepada 195,534 tan daripada 193,362 tan.

 

MPOB berkata, eksport minyak sawit meningkat 6.19% pada Jun 2026 kepada 1.20 juta tan berbanding 1.13 juta tan pada bulan sebelumnya.

 

Sebaliknya, eksport minyak isirung sawit menurun 2.64% kepada 83,712 tan.

 

Eksport hampas isirung sawit meningkat kepada 219,887 tan berbanding 177,880 tan pada Mei.

 

Sementara itu, eksport oleokimia susut 12.37% kepada 224,055 tan daripada 255,674 tan pada Mei, manakala eksport biodiesel merosot 88.35% kepada hanya 4,817 tan.

 

MPOB turut melaporkan tiada import minyak sawit mentah direkodkan pada Jun, manakala import minyak isirung sawit merosot 31.01% kepada 5,978 tan berbanding 8,665 tan pada bulan sebelumnya. - BERNAMA