KUALA LUMPUR 6 Jan – Pemegang saham Euro Holdings Berhad sebulat suara meluluskan cadangan pembelian sebidang lot hartanah industri di Cheng, Melaka dengan nilai pertimbangan RM56 juta.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 1976 itu berkata, aset tersebut akan diambil alih anak syarikat milik penuhnya, Eurosteel Line Sdn Bhd, yang terlibat dalam perdagangan produk berasaskan keluli.
Keputusan pengundian pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Hotel Supreme, Melaka itu menyaksikan kesemua 16 pemegang ekuiti kumpulan dengan memiliki 413,929,900 saham menyokong usul berkenaan.
"Pembelian hartanah ini melibatkan tanah pegangan pajakan bersama empat blok bangunan industri daripada Supreme Power Auto Sdn Bhd," kata Euro Holdings dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya, harga pembelian akan diselesaikan kumpulan berkenaan melalui gabungan tunai sebanyak RM38 juta dan penerbitan kira-kira 400 juta saham baharu pada harga terbitan 4.5 sen sesaham.
EGM yang diadakan itu turut meluluskan kesemua resolusi yang dibentangkan dengan sokongan 100%, dan keputusan pengundian disahkan oleh pemeriksa bebas dilantik, Aldpro Corporate Services Sdn Bhd.
Selain pembelian hartanah tersebut jelas syarikat itu, pemegang saham meluluskan usul penyelesaian hutang kumpulan berkenaan yang berjumlah RM25.34 juta melalui penerbitan 563,209,911 saham baharu.
"Ini termasuk kepada beberapa pemberi pinjaman, antaranya bekas Pengarah Urusan Kumpulan Euro Holdings, Datuk Seri Lim Teck Boon yang berpengalaman 20 tahun dalam dunia korporat," katanya.
Di samping itu jelasnya, EGM tersebut meluluskan cadangan terbitan hak sehingga 2.62 bilion saham baharu yang berdasarkan nisbah satu saham hak bagi setiap satu saham sedia ada untuk pengagihan.
Kesemua tujuh resolusi dibentangkan diluluskan sepenuhnya tanpa bantahan, mencerminkan sokongan kukuh pemegang saham terhadap pelan penstrukturan dan pengembangan syarikat. - DagangNews.com








