KUALA LUMPUR 30 Julai - Selepas terbengkalai hampir tujuh tahun, projek perumahan Residensi Hektar Gombak iaitu sebuah projek rumah mampu milik di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) akhirnya disambung semula pembinaannya selepas menerima suntikan dana sebanyak RM125 juta.
Penyambungan semula projek itu memberikan harapan baharu kepada 2,400 pembeli rumah yang sekian lama menanti untuk menduduki kediaman tersebut.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Residensi Hektar Gombak yang dimulakan pada 2018 antara projek terbengkalai paling besar dan ia sepatutnya siap pada 2022, namun pelbagai masalah timbul sehingga projek berkenaan terbengkalai dan menyebabkan ramai terkesan.
Beliau berkata, projek berkenaan dikenal pasti melalui pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN).
"Setelah melalui pelbagai cabaran dan rundingan teknikal serta kewangan yang kompleks, inisiatif berterusan dan campur tangan proaktif oleh KPKT melalui TFST akhirnya membuahkan hasil.

"Dengan adanya suntikan modal RM125 juta ini, kerja-kerja pembinaan akan bermula hari ini dan ia diteruskan oleh kontraktor utama baharu," katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke Residensi Hektar Gombak, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemaju Residensi Hektar Gombak hadapi masalah kewangan - KPKT
Kor Ming berkata, kerja-kerja pembinaan telah bermula hari ini dan kini diteruskan oleh kontraktor utama baharu iaitu syarikat Bina Permai Sdn Bhd.

Katanya, projek itu pada asalnya dibangunkan oleh Hektar Aneka Sdn Bhd di bawah seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan dan bermula pada 2018 tetapi gagal disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam Perjanjian Jual Beli iaitu Mei 2022, menyebabkan ribuan pembeli rumah terpaksa menunggu dalam ketidaktentuan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kemelut projek sakit Residensi Hektar Gombak bagai tiada kesudahan, pembeli terpaksa 'ikat perut' bayar ansuran pinjaman
“Pengumuman hari ini menandakan satu langkah penting ke arah pemulihan projek yang telah sekian lama tertangguh serta memberi sinar harapan kepada ribuan pembeli rumah,” katanya.

Beliau berkata, KPKT komited memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai agar rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, mendapat kediaman yang selesa dan selamat.
ARTIKEL BERKAITAN: Lima tahun menunggu, 2400 pembeli kediaman Residensi Hektar Gombak rayu PMX campur tangan
Selain itu, beliau turut memaklumkan, beberapa projek lain turut berjaya dipulihkan melalui campur tangan kerajaan termasuk projek Taman PRR Putera Kiansom, Sabah yang tertangguh selama 22 tahun, Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI di Bestari Jaya, Selangor.
Projek itu menjadi penyelesaian kepada isu pemilikan rumah 245 pekerja ladang di kawasan tersebut yang tertangguh hampir 27 tahun.- DagangNews.com








