Kemelut projek sakit Residensi Hektar Gombak bagai tiada kesudahan, pembeli terpaksa 'ikat perut' bayar ansuran pinjaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemelut projek sakit Residensi Hektar Gombak bagai tiada kesudahan, pembeli terpaksa 'ikat perut' bayar ansuran pinjaman

Lebih 200 pembeli mengadakan perhimpunan secara aman di Rumawip Residensi Hektar Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Feb - Kemelut yang melanda seramai 2,400 pembeli kediaman projek Rumawip Residensi Hektar Gombak yang gagal disiapkan oleh pemaju sehingga kini masih belum mencapai titik noktah.

 

Lebih menyedihkan apabila projek perumahan mampu milik itu diklasifikasikan sebagai projek sakit pada 6 April 2023 disebabkan kelewatan penyiapan projek dan isu kewangan yang dihadapi pemaju.

 

Baru-baru ini, lebih 200 pembeli mengadakan perhimpunan secara aman di tapak projek kediaman tersebut untuk terus mendesak pihak pemaju dan kerajaan menyelesaikan kemelut yang berlarutan sejak enam tahun lepas itu.

 

Rata-rata pembeli kecewa kerana kediaman mereka masih gagal disiapkan, sedangkan mereka sudah membayar ansuran pinjaman kepada pihak bank.

 

Selain itu, pembeli telah maklum mengenai kenyataan media daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkenaan status semasa projek Residensi Hektar Gombak, namun kecewa kerana tiada jalan penyelesaian, sebaliknya sekadar makluman sahaja.

 

Tarikh asal penyerahan kunci adalah pada Mei 2022, namun ditunda sebanyak dua kali pada Oktober 2022 dan 19 Mac 2023.

 

Menurut pembeli, sejak Disember 2022, mereka terpaksa 'mengikat perut' untuk membayar ansuran pinjaman kediaman kepada bank.

 

Selain itu, ada pembeli yang terpaksa membuat kerja-kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan keluarga, termasuk ada yang dikenakan tindakan undang-undang kerana gagal melunaskan ansuran pinjaman.

 

 

residensi hektar

 

 

Seorang pembeli, Muhammad Zazmie Amirudin berkata, dia terpaksa membayar sejumlah RM2,600 untuk kedua-dua kediaman, termasuk rumah yang belum disiapkan itu sebanyak RM1,600 dan RM1,000 bayaran sewa kediaman yang didiaminya ketika ini.

 

"Saya memang kena buat kerja sampingan, termasuk kerja lebih masa. Kalau tidak, memang tak cukup, makan hari-hari kena catu. Orang tidak nampak isu ini, tetapi kami yang terseksa," katanya.

 

 

residensi hektar

 

 

residensi hektar

 

 

Pembeli, Mohd Sharrel Fahmi Baharum pula berkata, ada pembeli yang telah dikenakan tindakan undang-undang berikutan gagal membayar ansuran pinjaman bank.

 

"Jika perkara ini berterusan, mereka (pembeli) yang gagal membayar ansuran kediaman berkemungkinan akan menjadi bankrap," katanya.

 

 

residensi hektar

 

 

BACA JUGA: Persatuan pembeli gesa KPKT salur Dana Jaminan Khas baik pulih projek Rumawip Residensi Hektar Gombak

 

 

residensi hektar

 

 

Pada 24 Januari 2024, DagangNews melaporkan Jawatankuasa Bertindak Pro-Tem Residensi Hektar Gombak menggesa KPKT mengambil langkah penyelesaian yang cepat dan menyeluruh melalui pemberian Dana Jaminan Khas bagi memastikan projek kediaman berkenaan dapat disiapkan pemaju. - DagangNews.com