KUALA LUMPUR 11 Feb – Bedi Berhad (dahulu dikenali sebagai WMG Holdings Bhd) menetapkan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 26 Februari 2026 bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham berhubung cadangan pelupusan hartanah milik syarikat bernilai RM85 juta.
Hartanah yang dimaksudkan ialah bangunan pasar raya dua tingkat di Lot 3A, Sejati Commercial, Sandakan, Sabah, yang kini disewakan sepenuhnya kepada Mydin Marketing Berhad (MMHB).
Pelupusan ini diumumkan kali pertama pada 13 November 2025 oleh NewParadigm bagi pihak Lembaga Pengarah, selepas MMHB melantik Mydin Wholesale Central Company (MWCC) untuk mengambil alih hak membeli hartanah tersebut berdasarkan perjanjian sewa sedia ada.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bedi berkata cadangan pelupusan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kumpulan untuk menyusun semula aset dan mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat.
“Lembaga Pengarah menilai bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk melepaskan nilai hartanah yang kini dimiliki sebagai aset jangka panjang.
“Pada masa sama ia juga membolehkan Bedi memperuntukkan semula modal ke arah projek pembangunan hartanah yang lebih strategik di Sabah dan sektor Borneo yang sedang berkembang,” katanya dalam makluman tersebut.
Hasil pelupusan akan digunakan untuk untuk membiayai pengembangan perniagaan, termasuk potensi pengambilalihan tanah dan pelaburan strategik di Sabah dalam tempoh 24 bulan iaitu sebanyak RM46.19 juta.
Selain itu RM35.11 juta untuk membayar balik pinjaman bank yang dijangka menjimatkan kos faedah sekitar RM1.86 juta setahun manakala RM3.7 juta untuk menampung kos pelupusan, termasuk fi profesional dan caj berkaitan.
Dari sudut kewangan, pelupusan ini dijangka meningkatkan nilai aset bersih per saham dari RM0.22 kepada RM0.25, menurunkan nisbah gearing daripada 0.78 kali kepada 0.53 kali, dan meningkatkan EPS pro forma daripada 0.03 sen kepada 0.05 sen.
Bedi menegaskan bahawa tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam transaksi ini, dan tiada syarat lain yang perlu diselesaikan untuk melaksanakan pelupusan ini.
Bedi Berhad mula mengumumkan cadangan pelupusan hartanahnya pada 13 November 2025 apabila anak syarikat milik penuh, ASB, menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Mydin bagi menjual bangunan pasar raya dua tingkat di Sejati Commercial, Sandakan, Sabah, pada harga RM85 juta. - DagangNews.com








