KUALA LUMPUR 8 Jun — Pelabur asing masih meneruskan rentak jualan bersih Bursa Malaysia bagi minggu keempat berturut-turut dengan mencatatkan aliran keluar RM1.05 bilion, menurut MBSB Research.
Firma penyeidikan itu menambah, jualan dicatatkan dalam semua tiga hari dagangan dengan paling tinggi pada Rabu iaitu sebanyak RM454.3 juta, diikuti Khamis (RM367.4 juta), dan Jumaat (RM225.8 juta).
Sementara itu, tiada dagangan berlaku pada Isnin dan Selasa minggu lalu disebabkan Bursa Malaysia ditutup bersempena dengan sambutan cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Wesak.
"Tiga sektor utama dengan aliran masuk bersih asing paling tinggi ialah tenaga (RM18.1 juta), logistik dan pengangkutan (RM12.9 juta) serta teknologi (RM8.8 juta)," kata MBSB Research lagi.
Sementara tiga sektor utama mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM312.5 juta), utiliti (RM125.0 juta) serta perkhidmatan dan produk pengguna (RM105.9 juta).
MBSB Research menambah, institusi tempatan masih lagi meneruskan aliran masuk bersih iaitu sebanyak RM773.6 juta, dengan trend itu secara berterusan untuk tempoh lapan minggu yang berturut-turut.
Pada masa sama kata firma penyelidikan tersebut, pelabur runcit tempatan masih menjadi pembeli bersih untuk minggu yang keempat, apabila mencatat jumlah aliran masuk sebanyak RM274.0 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) adalah menyusut dengan peruncit tempatan merosot kira-kira 6.1%, manakala institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing jatuh 21.7% dan 46.4%. - DagangNews.com








