Orkim meterai kontrak Time Charter RM32 juta dengan PETCO Trading Labuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Orkim meterai kontrak Time Charter RM32 juta dengan PETCO Trading Labuan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Feb – Anak syarikat milik penuh Orkim Berhad, Orkim Marine Sdn Bhd (OMSB), telah menandatangani Kontrak Sewa Masa (Time Charter) bernilai RM32 juta dengan PETCO Trading Labuan Company Limited (PTLCL).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu kontrak tersebut ditandatangani pada 23 Februari 2026 bagi tempoh enam bulan dengan pilihan lanjutan sebanyak enam bulan lagi atas budi bicara penyewa.

 

"Anggaran nilai kontrak termasuk pilihan lanjutan dijangka mencapai RM32 juta," kata kenyataan itu.

 

Menurut ORKIM, pelaksanaan kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh kontrak, tanpa menjejaskan modal saham atau pemilikan saham utama syarikat.

 

“Faktor risiko yang berkaitan dengan kontrak ini merangkumi risiko operasi dan pelaksanaan perkhidmatan pengangkutan marin.

 

"OMSB akan memastikan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan dan operasi dalam pelaksanaan kontrak,” kata pengumuman itu.

 

Tiada Pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan mempunyai kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak ini.

 

Lembaga Pengarah ORKIM berpendapat bahawa pelaksanaan Kontrak Sewa Masa ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com