OGX diyakini catat pertumbuhan kukuh hingga FY28, disokong perkembangan pesat pusat data, keselamatan siber – Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OGX diyakini catat pertumbuhan kukuh hingga FY28, disokong perkembangan pesat pusat data, keselamatan siber – Malacca Securities

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac – OGX Group Berhad diyakini berada pada landasan pertumbuhan kukuh selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, didorong oleh permintaan tinggi terhadap infrastruktur IT, keselamatan siber dan pusat data, menurut Malacca Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat yang menyediakan rumusan infrastruktur IT secara menyeluruh itu dijangka mencatatkan pertumbuhan keuntungan yang mampan dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

Firma itu menjangkakan keuntungan bersih OGX meningkat 51% bagi tahun kewangan 2026, diikuti 23.3% pada 2027 dan 13.8% pada 2028.

 

“Bagi tahun kewangan berakhir Mei 2025 (FY25), OGX mencatat keuntungan bersih RM15.5 juta berbanding RM8.2 juta pada FY24. Jumlah itu dijangka terus meningkat kepada RM23.3 juta pada FY26 dan RM28.8 juta pada FY27.

 

“Pendapatan syarikat juga dijangka menunjukkan peningkatan ketara, dengan unjuran melonjak daripada RM176.3 juta pada FY25 kepada RM265.6 juta pada FY26 dan RM334 juta pada FY27. Pertumbuhan ini didorong peningkatan jumlah projek serta nilai kontrak yang lebih besar.

 

“Sebahagian besar hasil OGX disumbangkan oleh penyediaan rumusan infrastruktur IT yang merangkumi rangkaian, keselamatan siber dan infrastruktur pusat data. Segmen ini menyumbang kira-kira 78% daripada hasil unjuran FY26,” Malacca Securities dalam nota kajiannya.

 

Selain itu, syarikat tersebut turut terlibat dalam pengedaran produk IT dan perkhidmatan sokongan serta jaminan produk. Model perniagaan ini membolehkan OGX menawarkan rumusan menyeluruh kepada pelanggan.

 

Industri infrastruktur IT dijangka terus berkembang seiring peningkatan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data dan IoT. Malaysia juga semakin dikenali sebagai hab pembangunan pusat data serantau, yang membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan seperti OGX.

 


Malacca Securities berkata dari segi kewangan, kedudukan imbangan kira-kira syarikat dijangka lebih kukuh selepas IPO. 

 

Hasil penyenaraian akan digunakan bagi pembelian dan pengubahsuaian fasiliti baharu, pengembangan portfolio jenama serta peluasan operasi ke Sabah dan Sarawak.

 

Sebanyak RM52.5 juta disasar dikumpulkan menerusi IPO tersebut, dengan sebahagian dana turut diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman dan modal kerja. Selepas pelaksanaan pelan ini, syarikat dijangka berada dalam kedudukan tunai bersih.

 

Setakat ini, saham OGX diniagakan sekitar RM0.35 sesaham. 

 

Malacca Securities meletakkan nilai wajar pada RM0.50 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 42.9%.

 

Penilaian itu dibuat berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 13 kali bagi unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 3.84 sen. Penilaian tersebut dianggap munasabah memandangkan saiz pasaran syarikat yang masih kecil berbanding pesaing seperti Infomina Berhad.

 

“Walaupun prospeknya positif, OGX masih berdepan beberapa risiko termasuk pergantungan kepada jenama pihak ketiga bagi membekalkan produk serta ketiadaan kontrak jangka panjang kerana kebanyakan projek adalah berasaskan tempahan.

 

“Selain itu, sebarang ketidaktentuan ekonomi global atau perubahan dasar perdagangan antarabangsa berpotensi menjejaskan perbelanjaan pelanggan terhadap projek infrastruktur IT,” kata firma tersebut.

 

OGX Group Berhad akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 Mac 2026, selepas permohonan awam bagi saham IPO dibuka sejak 12 Februari 2026 dan ditutup pada pukul 5 petang 2 Mac 2026. - DagangNews.com