NUBE rancang Perhimpunan Hari Pekerja di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NUBE rancang Perhimpunan Hari Pekerja di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 April — Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) merancang mengadakan Perhimpunan Hari Pekerja pada 1 Mei 2025 di depan bangunan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam Kompleks Setia Perkasa, Presint 1 dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari.


Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, lokasi itu dipilih kerana kecewa dengan tindakan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim apabila secara peribadi mengambil tindakan antikesatuan yang bercanggah dengan tahap perburuhan antarabangsa dan undang-undang tempatan.


NUBE memberi contoh antara tuntutan mereka ialah supaya 17 bank yang menganggotai Persatuan Bank-Bank Komersial Malaysia (MCBA) membayar Bantuan Perayaan sebanyak sebulan gaji pada 2024 bagi meringankan beban pekerja B40/M40 menyambut perayaan masing-masing. 


"Semasa rundingan berjalan, menteri berkenaan tanpa pengetahuan NUBE, telah campur tangan dan berunding terus dengan MCBA bagi menawarkan pakej jauh lebih rendah. Ini adalah tidak wajar kerana beliau sedar rundingan sedang berlangsung," katanya dalam satu kenyataan.


Steven kata Solomon, juga didapati tidak menghormati prinsip perbicangan bersama secara sukarela yang telah diutarakan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan bertindak merujuk isu Perundingan Kolektif ke-20 antara NUBE dan MCBA kepada Mahkamah Perusahaan.


Berdasarkan Konvesyen ILO Ke-98, yang Malaysia sendiri meratifikasikan pada 5 Jun 1961, ia menegaskan, perundingan hendaklah dibuat sukarela antara pihak-pihak terlibat – bukan menerusi mahkamah dan tindakan menteri itu adalah tidak sepatutnya dan tidak wajar.


Selain itu katanya, Maybank gagal menangani isu gangguan seksual dan perkauman dilakukan pegawai-pegawainya malah bank tersebut yang tidak berpuas hati dengan tindakan NUBE telah merujuk kes kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) di bawah bidang kuasa menteri.


"Menteri berkenaan kemudian didapati telah merujuk kes ini kepada Mahkamah Perusahaan. Kini, Maybank cuba menyekat segala kegiatan advokasi NUBE dalam isu-isu penting dalam membanteras gejala-gejala sosial di bank tersebut, melalui proses tindakan mahkamah," kata Solomon. 


NUBE tambah beliau, tetap percaya, penganjuran kempen kesedaran awam adalah penting kepada pekerja bank bagi mempertahankan hak mereka dan tindakan Steven dilihat seolah-olah menyokong usaha Maybank untuk menutup terus isu-isu panas berkenaan.


NUBE juga katanya, telah membuat pelbagai aduan terhadap pihak bank mengenai penolakan Cuti Urusan Kesatuan (TUL) kerana tindakan pihak bank-bank tersebut menafikan cuti itu sebenarnya bercanggah dengan hak-hak kesatuan seperti yang termaktub dalam undang-undang tempatan.


Bagaimanapun kata beliau, sehingga kini menteri berkenaan langsung tidak pernah mengambil sebarang langkah tegas untuk menghentikan tindakan-tindakan antikesatuan yang dilaksanakan oleh pihak bank selama ini apabila menolak TUL dimohon petugas bagi aktiviti kesatuan.


Solomon turut mendedahkan tindakan pihak bank mengadu kepada JPP mengenai hak ahli-ahli NUBE untuk berpiket, apabila jabatan tersebut dengan segera telah memanggil ahli-ahli NUBE untuk menghadiri sesi siasatan dan NUBE telah menulis surat kepada menteri untuk campur tangan.


"Kami meminta siasatan itu dihentikan. tetapi menteri langsung tidak memberi sebarang maklum balas kepada surat NUBE. Tindakan ini tidak selari dengan prinsip kebertanggungjawaban yang digariskan dalam Peraturan Pengurusan Tatatertib Perkhidmatan Awam," kata beliau.


Sehubungan itu tambahnya, pelbagai tindakan antikesatuan tersebut adalah jelas pelanggaran terhadap ILO, hak perlembagaan dan undang-undang jenayah kerana menteri sepatutnya memainkan peranan untuk melindungi hak ini dan menghentikan sebarang penyalahgunaan kuasa.


Bagaimanapun, Steven katanya, didapati gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut dan ia menjadi asas kepada NUBE untuk mengadakan Perhimpunan Hari Pekerja 2025 di depan Kesuma kerana banyak tindakan diambil beliau bersifat antikesatuan. - DagangNews.com