KUALA LUMPUR 4 Mac – Northern Solar Holdings Berhad melalui anak syarikat miliknya, Northern Solar Sdn. Bhd meraih dua kontrak dengan nilai keseluruhan RM119.39 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata kontrak pertama adalah berkaitan kerja pembinaan dengan nilai RM47.53 juta.
“Kontrak kedua pula melibatkan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) untuk SPP-IF dan talian pengumpul loji solar bernilai RM71.86 juta,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagaimanapun, identiti mengenai kontraktor itu tidak didedahkan dalam makluman tersebut disebabkan syarat sulit dalam surat anugerah yang diterima.
Lembaga pengarah Northern Solar menyatakan bahawa tempoh pelaksanaan kontrak masih belum ditetapkan.
“Sebarang pengumuman lanjut akan dibuat selepas perjanjian subkontraktor rasmi ditandatangani.
“Kontrak ini adalah kepentingan terbaik bagi syarikat dan anak syarikat kami serta dijangka memberi kesan positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 dan masa akan datang,” katanya.
Menurut syarikat, tiada risiko luar biasa dijangka selain daripada risiko operasi dan pelaksanaan biasa yang berkaitan dengan projek tersebut. Langkah pencegahan dan kawalan risiko akan terus dilaksanakan.
Northern Solar menegaskan bahawa tiada pengarah, pemegang saham besar, atau individu berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini. - DagangNews.com








